KUALA LUMPUR: Seramai hampir 6,000 orang membanjiri Dewan Merdeka pada pagi Ahad untuk menghadiri sesi khas bersama Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan menjelaskan tentang beberapa isu terkini.
Antara mereka yang hadir di Majlis Penerangan Perdana yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) adalah pemimpin atasan cawangan dan wakil badan-badan bukan kerajaan Melayu.
Hadirin yang datang adalah begitu ramai sehingga kerusi yang disediakan ditambah bilangannya namun masih ramai yang dilihat terpaksa berdiri.
Malah keadaan dalam dewan agak sesak sehingga ramai yang tidak dapat masuk dan terpaksa mendengar ucapan Perdana Menteri dari luar dewan.
Sambutan terhadap ucapan Perdana Menteri dilihat sangat menggalakkan dengan orang ramai memberi respon semasa beliau menerangkan tentang beberapa isu termasuklah mengenai perhimpunan Bersih yang diadakan pada Sabtu dan beberapa isu politik.