Malaysia Airlines (MAS) dan Malaysia bukan pihak yang patut dipersalahkan ekoran kehilangan pesawat MH370 sebaliknya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Boeing dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dipersoalkan dalam hal ini.
Kata Dr Mahathir, sebagai pengeluar pesawat Boeing bertanggungjawab ke atas kehilangan misteri tersebut dan mempertahankan MAS yang menerima cemuhan dan kritikan banyak pihak, mengatakan Boeing yang sepatutnya dipersalahkan di atas kehilangan MH370 dan 239 penumpang serta anak kapal.
Malah katanya “seseorang sedang menyembunyikan sesuatu. Ia tidak adil kerana Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malaysia yang dipersalahkan,” kata Mahathir dalam blognya Chedet.cc.
Tanpa menyebut siapa seseorang itu, bagi beliau, dengan alasan tertentu, media tidak akan menyiarkan apa-apa melibatkan Boeing yang menjadi pembuat pesawat ini dan juga Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika.
“Mereka boleh mendarat dengan selamat atau mereka mungkin kemalangan, tetapi kapal terbang tidak boleh hilang. Lebih-lebih lagi hari ini sistem komunikasi berkuasa yang beroperasi hampir dalam tempoh yang lama dan mempunyai kapasiti simpanan yang besar ,” jelasnya.
Kenyataan Dr Mahathir ini membangkitkan teori baru konspirasi tentang kehilangan pesawat yang mendapat fokus seluruh dunia.
Beliau percaya sistem pengesanan pada pesawat itu sengaja dilumpuhkan dan mempersoalkan di mana data pesawat, yang sepatutnya dirakamkan oleh satelit.
“MH370 adalah pesawat Boeing 777. Ia dibina dan dilengkapi komunikasi dan peralatan GPS telah dipasang oleh Boeing.
“Jika mereka gagal atau dilumpuhkan, Boeing perlu tahu bagaimana ia boleh berlaku dan sudah tentu Boeing akan memastikan mereka tidak boleh dilumpuhkan dengan mudah kerana melibatkan keselamatan dan operasi kapal terbang.
“Tetapi kapal terbang tidak boleh hilang begitu saja,” tulis Dr Mahathir merujuk kepada kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac lalu yang kini sudah lebih dua bulan hilang.
Bagi beliau, adalah membuang masa mencari serpihan pesawat atau minyak yang tumpah atau “ping” daripada kotak hitam.
“Ia nampaknya bukan kemalangan luar biasa selepas kehabisan minyak.
“Pesawat ini ada di satu tempat, boleh jadi bukan lagi dengan logo MAS pada badannya,” katanya.
Beliau menuntut Boeing menjelaskan apa yang dinamakan sebagai “sistem pendaratan auto anti keganasan”.
“Saya tidak boleh bayangkan pilot mendaratkan pesawat ini di lautan yang bergelora dan tenggelam secara senyap bersama pesawat itu,” kata Dr Mahathir.
Beliau menambah bahawa pada 2006, Boeing menerima sistem data milik Amerika Syarikat untuk satu sistem apabila diaktifkan mampu mengawal semua kawalan dari juruterbang untuk kembali sebuah pesawat komersial secara automatik ke lokasi pendaratan yang telah ditetapkan .
Beliau menyebut satu rencana oleh John Croft dalam Flightglobal.com pada 1 Disember 2006 yang menyatakan bahawa ‘autopilot akan diaktifkan – sama ada oleh juruterbang, pemerhati lembaga atau melalui radio mahupun satelit yang berkaitan dengan agensi-agensi kerajaan seperti Agensi Perisikan Pusat, jika pengganas cuba untuk mengawal penerbangan.
“Jelas sekali Boeing dan agensi-agensi tertentu mempunyai keupayaan untuk mengambil alih ‘kawalan tidak terganggu’ daripada penerbangan komersial yang mana salah satunya adalah MH370,” kata Dr. Mahathir.