LAHAD DATU: Anggota tentera yang didakwa melepaskan tembakan di luar sebuah kedai 24 jam dan membunuh seorang tentera serta mencederakan dua orang awam pada Rabu telah ditahan oleh pihak polis.
Suspek itu merupakan salah seorang daripada 11 anggota tentera yang ditahan pada tengahari berkaitan kes tembakan pagi Rabu.
Seramai 14 orang telah ditahan untuk disoal siasat.
Anggota tentera yang meninggal dunia di hospital Lahad Datu dalam kejadian awal pagi ini dikenal pasti sebagai Lans Korperal Mohd Fiffixezafey Mat Hussin, 28, akibat peluru yang mengenai bahagian dadanya.
Kedua-dua orang awam, yang berumur 31 dan 38 tahun dimasukkan ke hospital dan berada dalam keadaan yang serius.
Salah seorang daripada mereka, yang merupakan seorang ‘bouncer’, telah ditembak di bahu, manakala seorang lagi ditembak di kaki.
Polis sedang menyiasat motif di sebalik tembakan dan kekecohan yang berlaku di hadapan kedai Gemilang berhampiran dengan pondok polis.