Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan meneruskan boikot terhadap produk keluaran Cadbury walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada Isnin mengesahkan tiada DNA babi ditemui dalam produk syarikat itu berdasarkan analisa ke atas sampel yang diambil terus dari kilangnya
PPIM menerusi kenyataan di laman web rasminya berkata, persatuan itu menuntut penjelasan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengesahkan terdapat DNA babi di dalam dua jenis produk coklat Cadbury.
“Kami menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh JAKIM (mengesahkan tiada DNA babi dalam produk Cadbury).
“Bagaimanapun, kami berpendapat, pihak yang perlu mengeluarkan kenyataan untuk menafikan kewujudan penemuan DNA Porcine pada produk Cadbury adalah KKM memandangkan tindakan kami bersama NGO lain serta rakyat adalah berdasarkan kenyataan rasmi KKM,” kata kenyataan PPIM itu.
Menurut kenyataan itu, PPIM akan terus memboikot produk coklat berkenaan jika KKM tidak tampil membuat sebarang kenyataan untuk menafikan dakwaan mereka sebelum ini.
Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dilaporkan menggesa agar JAKIM mengembalikan semula keyakinan kepada rakyat Malaysia.
Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, JAKIM perlu menjelaskan kepada rakyat tentang standard prosedur operasi (SOP) pengeluaran sijil halal kepada syarikat-syarikat yang memohon.
“JAKIM perlu ambil inisiatif untuk menerangkan ‘bagaimana Cadbury boleh mendapat sijil halal pada mulanya?’ serta ‘bagaimana JAKIM akan memastikan perkara sama tidak berulang?’
“Selain itu, saya mencadangkan garis panduan diketatkan bagi syarikat yang ingin memohon sijil halal daripada JAKIM supaya rakyat akan kembali percaya dan yakin kepada JAKIM,” kata Faisal dipetik portal saluran berita Astro AWANI.
Pada Isnin, JAKIM membuat pengumuman bahawa tiada penemuan DNA babi di dalam dua produk Cadbury dan mengesahkan kedua-dua produk itu sebagai halal.
Di laman media sosial pula, orang ramai serta pengguna Cadbury sendiri turut melemparkan pandangan masing-masing.
Ada yang bersikap positif, ada yang bersikap negatif dan ada juga yang masih lagi was-was dengan pengumuman yang dibuat JAKIM.
Isu dakwaan ada DNA babi dalam dua jenis cokelat keluaran Cadbury bermula apabila ada pihak membocorkan di laman media sosial gambar dokumen sulit KKM tentang hasil analisa ke atas dua sampel produk berkenaan yang diambil secara rambang di pasaran pada 23 Mei lalu.
Ia memaksa KKM mengeluarkan kenyataan rasmi sehari kemudian bagi mengesahkan bahawa dokumen itu tulen, sekaligus bermakna hasil analisa berkenaan juga benar.
Tersentak dengan berita itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha mengambil tindakan segera mengeluarkan kenyataan ppada petang hari yang sama menggantung sijil halal dua jenis cokelat itu berkuatkuasa serta merta hingga siasatan selesai.
Bagaimanapun Othman menyatakan sepatutnya itu dimaklumkan kepada JAKIM terlebih dahulu untuk tindakan peringkat dalaman sebelum dihebahkan kepada orang ramai.
Ini kerana kuasa makmal ujian KKM itu hanyalah mengesahkan hasil anlisanya sahaja dan bukan menghebahkan kepada umum.
Yang peliknya keputusan analisa makmal KKM itu sebenarnya diperolehi pada Februari tapi ia hanya dihebahkan pada Mei lalu.
Namun yang dipersalahkan secara membuta tuli adalah JAKIM yang didakwa kononnya mudah mengeluarkan sijil halal dan tidak membuat pemantauan susulan.
Untuk rekod, Cadbury sudah diberikan sijil halal seawal tahun 2004 dan sehingga Februari lalu (ketika makmal KKM menemui DNA babi dalam sampel yang dianalisanya), malah sehinga 22 Mei lalu (sehari sebelum dokumen analisa KKM dibocorkan), tiada sebarang penyelewengan yang boleh menjejaskan status halal produk syarikat itu.
Perlu juga diingatkan, analisa makmal KKM dibuat ke atas sampel yang diambil secara rawak di pasaran, sekaligus bermakna pencemaran DNA babi itu boleh berlaku di mana-mana sahaja dari pelbagai sumber sepanjang perjalanan produk itu keluar dari pintu kilang Cadbury, kepada pemborong hinggalah ke rak-rak pasaraya atau kedai runcit.
Untuk maklumann juga, DNA adalah satu bentuk zarah yang sangat kecil bersaiz 0.01 NANO liter yang mampu merebak dengan amat mudah sama ada melalui sentuhan atau udara.
Pada 26 Mei lalu, JAKIM telah mengambil sampel kedua-dua jenis produk cokelat yang didakwa makmal KKM mengandungi DNA babi terus dari kilang Cadbury.
Malah JAKIM juga turut mengambil sampel empat produk lain serta lima jenis bahan mentah yang dipercayai berpotensi mengandungi unsur haiwan dari kilang syarikat itu.
Sampel enam produk dan lima bahan mentah itu diserahkan kepada makmal Jabatan Kimia untuk dianalisa dan pada 2 Jun (Isnin) keputusan ujian jabatan itu mendapati semua enam produk dan lima bahan mentah dari kilang Cadbury tidak mengandungi DNA babi.
Maknanya mudah – Cadbury tidak menggunakan DNA Babi dalam ramuan atau adunan resepi produknya, dan ia bermaksud juga produk syarikat itu tidak mengandungi bahan dari binatang yang diharamkan dalam Islam itu.
Sebaliknya, apa yang dimaksudkan oleh penemuan makmal KKM adalah ujian ke atas dua sampel cokelat yang diambilnya mendapati ia dicemari DNA haiwan berkenaan.
Terdapat dua perbezaan yang amat besar antara perkataan “mengandungi” dan “dicemari” bagi kita menjustifikasikan “hukuman” ke atas Cadbury mahupun JAKIM.
Sebenarnya kesimpulan kes ini amat mudah diputuskan – pihak berwajib (JAKIM) sudahpun membuat siasatan dan tampil mengumumkan keputusannya, justeru jika ada yang mahu terus boikot Cadbury, biarlah ia menjadi keputusan individu itu sendiri.
Menghasut orang ramai untuk turut memboikot kini boleh disifatkan menjadi satu fitnah dan menganiaya pihak yang tidak bersalah.
rujukan;
Dokumen Sulit
https://www.dropbox.com/s/2mz68xrxrwyrvvl/sulit.jpg
Kenyataan Media KKM
https://www.dropbox.com/s/ny21ylgf6np4434/media%20kkm.jpg
Kenyataan KP JAKIM
https://www.dropbox.com/s/zmc791yezlir4sa/media.jakim.jpg
Penerangan pegawai JAKIM
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=666816963373225&set=a.259095060812086.80145.100001347838242&type=1&relevant_count=1
keputusan ujian JKM
http://www.astroawani.com/news/show/kenyataan-media-berkenaan-keputusan-ujian-dna-babi-dalam-produk-cadbury-37022
Majlis fatwa
http://www.astroawani.com/news/show/coklat-cadbury-halal-majlis-fatwa-kebangsaan-36793