DAP Selangor tetap tidak akan membenarkan hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.
Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata, beliau berikrar tidak akan membenarkan usaha itu menjadi kenyataan.
“Kami sudah berulang kali katakan, kami berpendapat bahawa sebarang undang-undang untuk melaksanakan hudud bertentangan dengan Perlembagaan.
“Justeru kami menentang sekeras-kerasnya cadangan memperkenalkan undang-undang syariah itu di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, undang-undang jenayah hanya boleh diluluskan oleh Parlimen dan bukannya Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terdahulu, sebuah portal berita berbahasa Inggeris melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik mencadangkan kajian untuk memperkenalkan hukum hudud di Selangor akan dibahaskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin depan.
Cadangan itu diserahkan oleh Kamarol Zaki kepada Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh pada minggu lalu.
“Ia diserahkan minggu lalu oleh Inmind bagi pihak saya,” katanya Kamarol Zaki.
Inmind adalah Institut Perkembangan Minda, sebuah agensi yang dilantik oleh Adun Barisan Nasional (BN) di Selangor.
Hannah turut mengesahkan kajian mengenai hudud adalah satu daripada empat cadangan yang diterima daripada BN untuk dibahaskan.
“Saya masih belum membuat keputusan sama ada untuk membenarkan mereka membahas isu ini atau tidak,” katanya.
Keputusan cadangan itu hanya akan dibuat ketika mesyuarat Adun BN Selangor pada Selasa.