Kuala Lumpur: Seorang wanita warga China terpaksa bertarung nyawa dengan bergayut di tiang balkoni tingkat lapan sebuah kondominium di Jalan Pria Taman Maluri, Cheras, di sini, selepas dia terperangkap di dalam kebakaran, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa berusia 20-an gagal keluar menggunakan pintu selepas api merebak dengan cepat dipercayai berpunca akibat penghawa dingin terbakar.
Mangsa yang panik kemudian melarikan diri ke balkoni sebelum memanjat keluar dan bergayut kira-kira 20 minit sebelum diselamatkan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.08 petang dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 22 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) membabitkan BBP Pudu dan BBP Hang Tuah tiba di lokasi kejadian jam 3.21 petang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati berlaku kebakaran dan asap tebal di tingkat lapan di mana seorang wanita terperangkap.
“Tindakan pantas anggota bomba yang naik ke atas berjaya menyelamatkan mangsa dengan memakainya topeng dan menariknya masuk ke dalam sebelum membawanya keluar,” katanya.