PELABUHAN KLANG – Hasrat 97 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia menyambut Ramadan pada minggu depan bersama keluarga di kampung halaman masing-masing, tidak kesampaian apabila bot kayu mereka karam di perairan Sungai Air Hitam, Pulau Carey, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul kira-kira pukul 12.21 tengah malam itu menyebabkan 26 daripada mereka dikhuatiri hilang dan sehingga pukul 7 petang ini hanya sembilan mayat ditemui iaitu tujuh lelaki, dan dua wanita.
Baki mangsa yang terselamat terdiri daripada 49 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan.
Difahamkan, bot berkenaan yang dikatakan hanya mampu memuatkan 50 hingga 60 penumpang pada satu-satu masa itu, karam tidak sampai setengah jam selepas berlepas dari sebuah jeti di Pulau Carey menuju Indonesia.
Ketua Penyelaras Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Klang, Leftenan Komander Mohd. Hambali Yaakup berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bot tersebut karam disebabkan terlebih muatan dan bocor akibat terlanggar beting pasir.
Menurut Mohd. Hambali, kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) termasuk bantuan pasukan penyelam akan dilaksanakan berterusan sehingga kesemua mangsa ditemui.
“Jarak lokasi kejadian dari daratan adalah kira-kira 200 meter dan dipercayai kesemua mangsa yang terselamat sedang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa. Bot tersebut juga dipercayai beroperasi secara haram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kesemua mangsa yang terselamat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan manakala mayat-mayat dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat.
Sementara itu dalam sidang akhbar berasingan di Jeti Nelayan Pantai Kelanang, Morib, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Azman Abd. Razak memberitahu, pihaknya sedang menyiasat latar belakang kesemua mangsa memandangkan mereka tiada dokumen perjalanan diri.
Jelasnya, polis juga sedang menyiasat pemilik bot terbabit.
Tambahnya, kesemua mangsa ditahan untuk disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) 2007.