Mungkin ramai yang tidak tahu, suatu ketika dahulu cahaya, bunyi dan bulu roma menjadi penentu bermula dan tamatnya waktu sahur.
Berkongsi cerita mengenainya dengan, Presiden Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Omar Mohd Hashim berkata, petua itu menjadi amalan ketika zaman kecilnya.
Sesuatu yang sukar dilupakan, katanya, penggunaan alam semulajadi seperti cahaya matahari dan kokokan ayam membantu beliau sekeluarga menentukan masuknya waktu sahur yang afdal sehingga tamatnya waktu itu.
Tidak dapat disangkal, cerita sahur ‘orang lama’ dan berpengalaman ini begitu menarik sekali, terutama apabila dinding rumah yang diperbuat daripada daun nipah, cahaya dan bulu roma menjadi subjek utama.
“Datuk dan orang tua saya kata, kalau nak tahu sama ada waktu sahur dah habis atau tidak, caranya dengan menyelak dinding atap nipah biar cahaya masuk.
“Kalau masih tak nampak bulu roma, maksudnya masih boleh makan sahur, tetapi kalau bulu roma dapat dilihat bermakna waktu sahur dah habis,” katanya mengimbas kembali pengalaman yang disifatkan sebagai sangat berharga.
Berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang, beliau menganggap panduan alam untuk bersahur adalah sesuatu yang unik walaupun ia senasib dengan amalan mengetuk beduk yang tidak kini ditelan zaman.
Walaupun generasi kini tidak berpeluang melalui amalan itu, wajar jika ia diceritakan untuk anak muda kini mengetahui sejarah budaya masyarakat Islam negara ini.
Beliau percaya perubahan daripada budaya mengetuk beduk, penggunaan jam tangan, jam loceng sehinggalah terciptanya telefon pintar dengan alat penggera pelbagai fungsi juga untuk tujuan sama yang memudahkan manusia.