MARANG: Seorang lelaki maut selepas kenderaannya bertembung kereta Proton Waja yang dinaiki empat pegawai Kastam dalam nahas di Kilometer 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kampung Pasir Puteh dekat sini, petang ini.
Zulkepli Mohd Nor, 50, dari Kampung Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala pemandu Proton Waja Baharim Ibrahim, 35, Noorah Mohamad, 46, Wan Nurul Zarina Ahmad, 25, dan Shamsuri Osman, 40, patah tangan, kaki serta cedera di kepala dan muka.
Dalam kejadian pada kira-kira 3 petang, empat pegawai berkenaan dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu selepas menghadiri tugas rasmi di Kemaman.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu Zulkepli dari arah Marang ke Dungun dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung kereta dinaiki pegawai kastam berkenaan, yang datang dari arah bertentangan.
Seorang saksi, Zulkifli Deraman, 49, berkata dia bergegas ke tempat kejadian selepas mendengar satu dentuman yang kuat dan melihat kedua-kedua kenderaan remuk.
“Saya bersama beberapa penduduk berusaha memadamkan kebakaran kereta Proton Waja yang dinaiki empat anggota Kastam terbabit dengan menggunakan pasir selepas enjin kereta terbabit terbakar.
“Nasib baik kami pantas… kalau tidak, sudah tentu kereta itu akan terbakar dan mungkin keempat-empat anggota Kastam itu akan rentung,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Zulkifli berkata dalam suasana kelam-kabut itu, beliau sempat menjenguk ke dalam kereta Perodua Viva terbabit dan melihat pemandunya cedera parah di seluruh anggota badan serta kelihatan seperti sudah tidak bernyawa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah DSP Risikin Satiman, ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata pegawai Kastam terbabit dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan manakala mangsa yang maut untuk bedah siasat.