Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan sebuah pasar raya di sini menjual ayam yang ditebuk leher dan disembelih tidak mengikut kaedah Islam.
Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Muhammad Naim Mohd Aziz berkata pihaknya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah memeriksa pasar raya berkenaan dan mendapati ayam yang diperoleh dan dijualnya adalah halal dan mematuhi syarak.
“Kita mendapati pembekal ayam ke pasar raya ini kesemuanya adalah pemegang sijil halal yang sah dan tidak ada sebarang keraguan yang timbul.
“Justeru Jakim ingin menasihati orang ramai supaya tidak ragu dan bimbang terhadap produk yang dijual di pasar raya ini kerana ia mempunyai sijil dan logo halal yang disahkan Jakim,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di pasar raya berkenaan, Sabtu.
Beliau berkata pemeriksaan dibuat setelah pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran foto seekor ayam yang tersebar luas di Facebook Jumaat, yang ayamnya dikatakan ditebuk di bahagian leher dan tidak disembelih mengikut kaedah Islam.