Dalam `waktu krisis’ ketika ini akibat nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, semua masyarakat termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira fahaman dan ideologi politik perlu bersatu padu bersama kerajaan dalam merungkai tanda tanya punca insiden mengejut itu.
Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) MIC, Datuk R. Ramanan berkata, tidak perlu ada pihak cuba `mencurahkan minyak ke dalam api’ dengan menuding jari mencari salah pihak tertentu terhadap nahas yang meragut 298 nyawa tersebut.
Di saat ini, beliau percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan
anggota pentadbiran kerajaannya sedang bekerja keras serta bertungkus-lumus untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas pesawat MH17.
“Segenap lapisan masyarakat, hatta parti-parti pembangkang dan mereka yang melayari laman-laman sosial mesti berganding bahu bersama kerajaan mencari punca di sebalik nahas yang mengejutkan negara dan dunia ini.
“Malaysia sedang menangis, jangan undang lagi kesedihan dan kemarahan terhadap keluarga mangsa. Keadaan sekarang umpama `api yang sedang menyala, jangan campak petrol ke dalamnya’.
“Ini isu global yang boleh terjadi ke atas mana-mana negara, sama ada pesawat MH17 dikatakan berada pada waktu dan tempat yang salah, kita harap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat merungkainya, kita kena letakkan perbezaan politik ke tepi,” kata beliau.
Sejumlah 44 rakyat Malaysia daripada keseluruhan 298 penumpang dan krew berada dalam pesawat MH17 yang terhempas di timur Ukraine kelmarin selepas dipercayai ditembak jatuh.