HRABOVE, Ukraine: Pemantau antarabangsa dan pegawai Ukraine berkata pemberontak bersenjata memaksa petugas kecemasan menyerahkan 196 mayat yang ditemui di tempat pesawat Malaysia Airlines MH17 terhempas dan memasukkan semuanya ke dalam gerabak dingin.
Iryna Gudyma, jurucakap bagi pemantau dari Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE), berkata sebilangan mayat dimasukkan ke dalam tren di Torez, 15 kilometer dari lokasi pesawat terhempas.
Agensi berita Russia melaporkan semua mayat berkenaan sedang dibawa ke bandar dikuasai pemberontak, Donetsk.
Pegawai Ukraine berkata mayat berkenaan akan dihantar ke bandaraya yang dikuasai kerajaan, Kharkiv tetapi tidak pasti sama ada pihak pemberontak bersetuju melakukan sedemikian.