MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, berikrar akan melakukan segala yang termampu untuk mempengaruhi kumpulan pemisah di timur Ukraine dan membantu memastikan siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines minggu lalu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha itu tidak memadai tanpa sekurang-kurangnya gencatan senjata sementara oleh Kiev untuk membolehkan pasukan penyiasat menjalankan tugas.
Beliau juga menyalahkan Barat kerana menjadikan Ukraine tidak stabil dan memberi amaran bahawa cubaan sama terhadap Russia akan gagal.
“Russia akan melakukan apa saja dalam bidang kuasanya untuk siasatan menyeluruh dan telus,” kata Putin pada mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Russia.