Seorang anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepimpinannya berunding mengenai penyerahan mayat-mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang didakwa ditembak jatuh, di timur Ukraine pada 17 Julai lepas.
Eni F.H. Faleomavaega yang mewakili Samoa-Amerika memuji Najib dalam satu persidangan Kongres dan kata-kata beliau itu telah dipaparkan di http://capitolwords.org pada 24 Julai lepas.
Capitol Words menyiarkan perkataan yang paling kerap digunakan dalam Rekod Kongres, memberikan peluang pembaca laman web itu mendapatkan maklumat mengenai isu-isu yang diketengahkan penggubal dasar secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan.
Capitol Words adalah sebuah projek oleh Sunlight Foundation berpangkalan di Washington DC – bersifat non-partisan dan tidak mengaut keuntungan – yang menyokong kerajaan terbuka di peringkat global dan menggunakan teknologi untuk menjadikan kerajaan lebih bertanggungjawab kepada semua.
Dalam posting itu, Faleomavaega memuji Najib kerana tidak membiarkan rundingan dengan puak pemisah di Ukraine dilakukan pembantunya.