Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan meneruskan tindakan saman ke atas seorang pemimpin PAS yang mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap beliau.
Pada Khamis, Lim memberi tempoh masa selama 24 jam kepada Ahli Parlimen Nasrudin Hassan Tantawi untuk memohon maaf tetapi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu enggan berbuat demikian.
“Nasrudin bukan sahaja tidak memohon maaf tetapi mengeluarkan satu lagi kenyataan berbaur fitnah,” kata Lim.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau terkejut dengan serangan tanpa provokasi yang dilancarkan Nasrudin mengenai kewangan kerajaan Pulau Pinang dan penganugerahan projek pembinaan Terowong Dasar Laut di negeri itu.
“Peguam saya akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap kenyataan yang dikeluarkan Nasrudin kerana menyebarkan fitnah dan pembohongan secara terang-terangan terhadap saya dan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.
Pada Jumaat, Nasrudin dalam Facebook miliknya mempertikaikan mengapa Lim tidak dikritik oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang lain berhubung projek pembinaan terowong di negeri itu ketika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dibidas berhubung cadangan pembinaan satu lebuh raya di Selangor yang mencetuskan kontroversi.
“Kenyataan saya tempoh hari adalah dari dapatan dan data awam sebagai asas persoalan yang diketengahkan mengenai isu terowong tersebut. Justeru itu, dakwaan kononnya saya melakukan fitnah dan pembohongan adalah tidak berasas sebagaimana yang disebut oleh Lim Guan Eng,” tulis Nasrudin.