Beberapa pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dilihat hadir ke mesyuarat tergempar Pakatan Rakyat (PR) pada malam Selasa.
Difahamkan, mesyuarat diadakan berikutan keputusan mengejutkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memecat enam exco kerajaan negeri seperti yang diumumkan petang Selasa.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah pemimpin terawal hadir ke Ibu Pejabat PKR di sini, kira-kira pukul 7.55 malam.
Pemimpin lain yang menyusul termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Bagaimanapun, sehingga pukul 8.50 malam, tiada wakil dari PAS yang dilihat hadir ke mesyuarat tergempar ini.
Difahamkan satu sidang media akan diadakan pada pukul 8.30 malam tetapi sehingga kini mesyuarat masih lagi berlangsung.