Nasrudin Hassan – Tegur menegur dan kritik mengkritik adalah perkara biasa yang mampu mematangkan seseorang khasnya pemimpin jika ia diurus dengan baik dan berhemah. Biar perit menerima teguran, biar sakit menangkis kritikan namun ia lumrah di medan politik. Kritikan di pentas politik bagaikan gossip dalam dunia artis.
2. Biarpun pedas kritikan dan keras teguran, ia tidak merosakkan persefahaman dan persepakatan justeru ia telah menjadi rencah utama dalam dunia politik. Politician akan lebih tabah, matang dan lapang dada dengan fenomena sebegini. Malah tidak keterlaluan jika saya menyebut bahawa pentas politik memerlukan persekitaran yang diperkayakan dengan budaya tegur menegur dan kritik mengkritik selama mana ia dalam pakej tujuan dan matlamat untuk membina dan membangun.
3. Sesuatu pakatan itu terjejas malah retak dan pecah apabila tiada lagi persefahaman dan persepakatan. Sikap besar kepala dan keras hati yang membarah. Tidak boleh ditegur dan dikritik. Rasa hebat dan berkuasa. Lupa jasa orang lain. Mendabik dada membilang pengaruh. Memaksa dan mengugut terima keputusan yang dibuat tanpa musyawarah. Tidak menghormati prinsip kebersamaan kerana mahu berada paling atas.
4. Siapa sahaja boleh bertahan dengan karenah sedemikian, namun hati dan jiwa remuk rendam. Hilang wibawa dan air muka. Saban waktu ditohmah kuda tunggangan. Tiada lagi nilai pakatan dalam situasi sedemikian. Kalau nak berpakat janganlah memaksa. Amalkan mesyuarat bersama sebelum buat keputusan. Sikap bagi kata dua adalah suatu budaya peras ugut politik yang sangat kotor. ( Manakan tidak, setelah membuat keputusan lalu mengugut supaya dipatuhi keputusan tersebut sedang ia tidak dimusyawarah terlebih dahulu.)
5. Polemik di Selangor menjadi ujian besar kepada Pakatan Rakyat. Saya mendoakan agar keadaan kembali pulih dan kembali berjuang dengan cara yang betul. Menilai perkembangan semasa, saya berpendirian :
a) Jangan wujudkan pertembungan dengan pihak istana ( terkini dalam isu perlantikan Menteri Besar ) justeru menghormati institusi Raja juga adalah konsensus Pakatan Rakyat.
b) Tiada pembentukan kerajaan dengan UMNO ( melantik ADUN UMNO sebagai EXCO ) kerana ia mengkhianati semangat pemuafakatan Pakatan Rakyat.
c) Sementara PAS mengamati senario ini sebelum memutuskan tindakannya pada 17 Ogos 2014 nanti, usahlah mengugut dan beri kata dua kepada PAS. PAS bukan parti hingusan di persada politik tanahair untuk dibuli sedemikian rupa.
d) Sementara itu, PAS mesti memberikan sepenuh komitmen untuk menjaga kerajaan negeri sebagaimana yang diamanahkan oleh rakyat. Jangan porak perandakan pentadbiran kerajaan negeri dengan elemen sabotaj dan lainnya.
Semoga Allah swt bersama kalian dan kita semua.