Akhirnya pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui secara terbuka bahawa mereka mengamalkan budaya politik ganas dan tidak bertamadun.
Ia diluahkan sendiri oleh pemimpin wanita PKR yang menggesa semua ahli parti menghentikan budaya ganas seperti yang berlaku ketika pemilihan parti.
Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berpendapat, budaya tersebut perlu dikawal dengan tindakan disiplin yang lebih ketat.
“Cantiknya selepas pemilihan itu, kita berhari raya untuk kita bermaaf-maafan. Yang baling kerusi…jangan baling kerusi lagi. Boleh?
“Kita harap di masa-masa akan datang, kita dapat hentikan budaya ini kerana saya faham ini baru kali kedua kita melaksanakan pemilihan parti dengan konsep seorang ahli satu undi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Stadium Malawati.
Beliau sempat berseloroh agar perwakilan dan pemerhati tidak bertindak keluar dewan seperti yang berlaku ketika persidangan AMK, semalam.
“Jadi, ini (budaya ganas) mungkin harus dikawal dengan disiplin yang lebih kuat. Tadi Nik Nazmi ada sebut tentang sedikit perselisihan mungkin…’walk in’ dan ‘walk out’ tapi saya minta perwakilan dan pemerhati jangan ‘walkabout’ dalam ini (stadium). Duduk diam-diam, dengar penggulungan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar segala perselisihan antara ahli itu diatasi dan terus mara dengan kesatuan.
Semalam, separuh perwakilan AMK dilaporkan bertindak keluar dewan sebaik nama Nik Nazmi Nik Ahmad diumumkan secara rasmi sebagai Ketua AMK.
Namun ketika ditanya, Nik Nazmi berkata, beliau tidak terlalu mengambil berat akan perihal tersebut kerana baginya tindakan itu boleh dianggap sebagai masalah dalam kelambu.
Kekeruhan dalam PKR tidak dapat dibendung dalam apa jua keadaan terutama dalam isu menteri besar Selangor dan pemilihan parti.
Masing-masing bersembunyi disebalik kuasa rakyat ketika menegakkan `benang yang basah’ wal hal di antara mereka dikatakan kemaruk gila kuasa dan tidak kisah menggunakan budaya samseng asalkan mereka puas.
Kepimpinan parti itu semakin tidak konsisten menyebabkan rakyat semakin muak dengan perjuangan `nepotisma halal’ mereka.