IPOH: Seorang bapa merayu orang ramai membantu mengesan anak perempuannya Puteri Nur Sabrina, 17, yang hilang selepas keluar membeli nasi lemak di kawasan rumahnya di Taman Klebang Utama, Chemor sejak 30 Julai lalu.
Megat Kamarudzzaman Megat Talib, 45, berkata anak perempuannya itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini hilang tanpa membawa sebarang beg pakaian dan dipercayai mengikut teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Myzan dan berasal dari Gombak, Selangor.
“Ketika keluar pada hari kejadian, Sabrina memberitahu saya yang dia mahu keluar membeli nasi lemak di kawasan berdekatan dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC Ego. Ketika itu dia hanya memakai seluar trek berwarna gelap dan baju T berwarna putih.
“Bagaimanapun anak saya tidak kembali ke rumah selepas beberapa jam keluar dan saya mula mencari dia di beberapa rumah rakan sekolahnya namun dia gagal ditemui,” katanya kepada BH sebentar tadi.
Megat Kamarudzzaman berkata, dia juga beberapa kali cuba menghubungi telefon bimbit anaknya namun tidak berjawab dan kini ia gagal dihubungi langsung.
Katanya, beliau sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya itu di Balai Polis Chemor pada awal pagi 1 Ogos lalu.
“Selepas sebulan laporan kehilangan anak saya dibuat, pelbagai ikhtiar sudah dibuat termasuk cuba mencarinya di Kuala Lumpur dan mendapatkan maklumat lengkap lelaki yang dipercayai teman lelaki anak saya tetapi semuanya masih buntu,” katanya