PAS mengarahkan perwakilannya supaya ‘tutup mulut’ dengan tidak membahaskan perbezaan pendapat antara Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan, Mohamad Sabu berhubung isu menteri besar Selangor.
Menyedari isu berkenaan menghangatkan sesi perbahasan hingga wujud serangan terhadap Mohamad, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din mengarahkan supaya tidak lagi menyentuh mengenai perkara berkenaan.
“Muktamar sudah sampai ke peringkat yang sudah panas. Dipanaskan dengan isu kelainan pendapat antara presiden dan pihak-pihak lain. Mesej itu sudah sampai.
“Jadi saya nak arahkan supaya isu itu berhenti setakat ini sahaja. Saya minta isu ini ditutup,” katanya pada sesi khas sebelum perbahasan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini di sambung semula pada Jumaat petang.
Tambah Haron, segala isu yang dibangkitkan perwakilan sejak sesi perbahasan yang bermula Khamis akan diulas oleh kepimpinan PAS Pusat pada sesi penggulungan.
“Yang di atas (pemimpin) sudah dapat maklumat. Kalau itu (arahan) dipatuhi, keadaan akan kembali tenang,” katanya.
Sejak muktamar bermula, perwakilan secara konsisten ‘menyerang’ Mohamad kerana bertindak mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan Abdul Hadi berhubung situasi politik di Selangor.
Malah pentas muktamar digunakan sebagai medan untuk menyatakan sokongan terhadap Abdul Hadi termasuk laungan ‘kami menyokong presiden dan kepimpinan ulama’.
Sentimen kemarahan terhadap Mohamad turut berlaku ketika Muktamar Pemuda PAS yang berlangsung Selasa lalu apabila beliau dimalukan perwakilan sayap itu dengan memboikot ucapan perasmiannya.