Ketika PKR dan DAP berharap PAS memberi signal bahawa ‘kesefakatan’ dalam Pakatan Rakyat (PR) bertaut semula selepas terjejas ekoran isu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memilih menyiram minyak di api yang hampir padam.
Sesiapa sahaja yang mendengar ucapan penggulungan Presiden PAS pada hari terakhir muktamar tahunan ke 60 parti itu di Batu Pahat semalam, pasti setuju bahawa Hadi melepaskan kemarahannya terhadap apa berlaku dalam PAS dan beliau sendiri.
Tiga perkara utama disenmtuhnya membabitkan tidakan dua Adun PAS di Selangor yang menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PKR yang mencuri dan membeli Adun parti itu serta golongan tertentu dalam PAS yang kini ibarat musuh dalam selimut.
Walaupun nampak lembut penyampaian ucapannya, tetapi Hadi jelas amat emosi menyentuh perbuatan Adun PAS Hulu Klang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharudin yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Presiden PKR itu sebagai calon Menteri Besar.
Hadi menyifatkan dua Adun itu sebagai barua kepada PKR dan beliau turut mengecam pihak yang jadi broker sehingga mereka menyeberang menyokong Wan Azizah.
“Bukankah calon wakil rakyat kita ada bai’ah. Mana lebih besar bai’ah lafaz Wallahi, Wabillahi, Watallahi dengan aku janji,” hambur Hadi.
Saari dan Hasnul menandatangani akuan bersumpah atau aku janji menyokong Wan Azizah tanpa pengetahuan pimpinan PAS yang ketika ini memutuskan tidak menyokong pencalonan Wan Azizah.
Pendedahan mengenai broker yang memujuk atau memancing Adun-Adun PAS pernah didedahkan Setiausaha PAS Selangor Kharuddin Othman sebelum ini.
Hadi seterusnya mempertikai tindakan PKR sebagai rakan tahaluf siyasi tetapi sanggup ‘mencuri’ dua Adun PAS itu supaya menyokong Wan Azizah.
“Ini pula curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat, inikah etika kita bertahaluf?,” kata Hadi sambil menegaskan perbuatan itu tidak boleh dipandang ringan.
Namun paling menarik ucapan Hadi yang berkisar isu jawatan menteri besar yang menyebabkan PR bercakaran dan saling tuduh menuduh.
Jawapan Hadi mudah.
“Saya tidak rela ahli PAS semuanya masuk neraka. Jadi PAS perlu campur tangan dalam isu Menteri Besar Selangor,” katanya.
Menurut Hadi, PAS tidak pelahap jawatan berkenaan walaupun dengan 15 kerusi bermakna parti itu lebih layak memegang jawatan tersebut tambahan pula tidak ada perjanjian bahawa kerusi Menteri Besar Selangor milik PKR.
“PAS tidak merebut, pelahap jawatan menteri besar. Walaupun tiada persefahaman siapa menteri besar, walaupun tiada perjanjian bertulis, tetapi ingat, di sana ada hukum syarak, jangan hukum akal sahaja.
“Bila ada raja yang jaga agama. PAS tidak boleh berdiam diri.” ujar beliau.
Nampak Hadi begitu tegas bercakap isu ini termasuk mengulangi bahawa Wan Azizah tidak berkemampuan memikul tugas itu.
Menilai ucapan beliau, dapat dibayangkan seolah-olah Hadi sudah menghidu peluang calon parti itu yang akan dipilih sebagai menteri besar.
Mungkin juga Hadi sudah dapat petunjuk sama ada Iskandar Abdul Samad atau Ahmad Yunus Hairi yang bakal mengangkat sumpah jawatan Selasa ini.
Jika tidak mustahil beliau sanggup menyerang PKR yang dilabelnya sebagai pencuri dan menjadikan PAS sebagai platform mencapai niat politik mereka.
Lagipun, nada ucapan Hadi berbeza berbanding ketika perasmian muktamar tiga hari dahulu yang nadanya dilihat suba memadam api dalam PR.
Namun, Hadi mungkin sedar bahawa PKR boleh jadi dedalu api yang boleh merosakkan PAS selagi parti itu berada dalam PR.
Sebab itu Hadi menegaskan supaya jangan jadikan PAS sebagai hotel, tempat bersinggah. atau di jambatan pendek melintas sungai kemudian masuk hutan.
Jelas Hadi membuat ucapan tanpa mahu menoleh ke belakang lagi termasuk melihat PKR yang boleh disifatkan menikam belakang PAS.
Mungkin Hadi sedar bahawa Sultan Selangor sudah memberi perkenan melantik Adun PAS sebagai menteri besar dan sebelum beliau diserang PKR dan DAP, lebih baik beliau dulu membuka langkah pertarungan.