Sumber terdekat kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengesahkan beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
“Inshaallah. Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat,” kata sumber tersebut pada Isnin ketika ditanya mengenai pelantikan menteri besar yang baharu.
Azmin dijangka mengangkat sumpah di Istana Alam Shah pada pukul 10 pagi Selasa dan akan mengadakan sidang media pertamanya sebagai menteri besar selepas selesai upacara tersebut.
Difahamkan Azmin sedang bertemu dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi calon tunggal parti itu untuk mengisi kerusi panas tersebut.
Istana dijangka membuat pengumuman rasmi pada Isnin, namun surat pelantikan akan dihantar.
Sejak beberapa minggu lalu, PKR tetap dengan pendirian untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut walaupun Istana meminta lebih daripada dua nama calon untuk dipertimbangkan.
Difahamkan Sultan telah membuat keputusan selepas “menemu duga” Azmin, Adun Chempaka, Iskandar Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi secara berasingan.
Iskandar dan Dr Ahmad Yunus dari PAS, dan kedua-duanya juga merupakan exco kerajaan negeri.
Namun, Azmin merupakan pilihan Sultan selepas tempoh menemu duga beliau mengambil masa yang lebih lama berbanding dua calon lain kerana PAS bersetuju jawatan menteri besar di negeri itu milik PKR.