Seorang pelajar jurusan Diploma Rekaan Fesyen bakal berdepan dengan siasatan kerana membuat laporan palsu kepada polis.
Pada Sabtu, pelajar semester lima di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di Johor itu telah membuat laporan polis di Dungun, yang mendakwa dia berjaya melarikan diri dari penculik.
Pelajar berusia 20 tahun itu memberitahu polis, dia keluar dari rumahnya untuk pergi ke kelas, dan pengsan sebelum tersedar berada di dalam sebuah kontena lori.
Dia juga mendakwa terdapat tujuh orang kanak-kanak turut berada di dalam kontena itu, manakala tiga lelaki yang menculiknya berasal dari Kelantan berdasarkan dialek percakapan mereka.
Pelajar itu memberitahu polis bahawa dia berjaya melarikan diri ketika lori tersebut berhenti di stesen minyak di Dungun sebelum dia menelefon ibunya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata, pelajar itu membuat laporan polis selepas disuruh ibunya.
“Dia memutuskan untuk membuat laporan palsu,” jelas Wan Abdul Aziz kepada media.
Selepas disoal siasat oleh polis berikutan laporan yang mengelirukan, pelajar tersebut akhirnya mengaku bahawa dia membuat laporan palsu kejadian ini kerana tertekan dengan pelajarannya.
“Sebaik sahaja selesai membuat siasatan, kami akan mengambil tindakan ke atas pelajar ini,” katanya.
Dalam masa sama Wan Abdul Aziz memberi amaran kepada orang ramai bahawa laporan palsu boleh menimbulkan banyak masalah kepada polis.
“Apabila kami diberitahu bahawa terdapat tujuh lagi mangsa culik yang mungkin menuju ke Thailand, kami telah mengarahkan anggota untuk membuat sekatan di pintu masuk negara.
“Apa yang dilakukan ini telah menyusahkan banyak pihak serta membuang masa hanya kerana perkara remeh-temeh,” katanya.
Pelajar tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi laporan palsu kepada pihak polis yang boleh boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.