Penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), yang mendokong ideologi Islam dan Anwarinas, dilihat antara punca perpecahan dalaman PAS.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata PAS kini berdepan dengan ‘musuh-musuh’ politik dalaman parti kerana mereka secara terbuka enggan patuh kepada pucuk pimpinan tertinggi yang diterajui golongan ulama termasuk (presiden) Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“(Ia) satu lagi bentuk pecah dan perintah (yang cuba diterapkan dalam PAS). Mereka (Pasma) nak bentuk parti dalam parti, puak dalam puak dan cuba nak memecahkan tradisi kepimpinan (ulama) dalam PAS,” katanya.
Akhbar hari ini melaporkan perkembangan PasMa ketika ini amat mengejutkan apabila banyak permohonan untuk menyertai badan bukan kerajaan (NGO) itu di Terengganu berbanding negeri lain.
Ahmad Atory turut berpendapat penubuhan Pasma sebagai ‘langkah’ yang diambil Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menguasai PAS secara halus dan berselindung di sebalik anggota-anggota PAS yang kini tidak lagi sehaluan dengan ideologi Islam acuan PAS.
“(PKR) menggunakan Pasma ini sebagai satu alat untuk mempengaruhi anggota-anggota PAS (yang berideologi Islam) supaya bersetuju dengan ideologi PKR.
“Mereka (PKR) menggunakan Pasma dan mempengaruhi golongan bukan Melayu iaitu DAP supaya DAP dan bukan Melayu lebih percaya kepada PKR dan Pasma. Mereka tak yakin dengan PAS sebab PAS bertunjangkan Islam,” katanya.
Sementara itu, bekas Felo Universiti Sains Malaysia Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata PAS patut lebih bersedia untuk bersemuka dengan mana-mana pihak terutama golongan yang bersikap kritikal terhadap parti itu.
“Mengambil tindakan melarang anggota-anggota PAS menyertai persatuan seperti Pasma juga akan lebih menimbulkan rasa ingin tahu mereka (anggota parti) mengenai Pasma dan akan lebih mempopularkan NGO itu,” katanya.