Mohd Saiful Bukhari Azlan berharap pasukan peguam bela Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi melambatkan proses kehakiman dengan mencari alasan untuk melambatkan kes.
Saiful berkata, dia mahu kes ini segera ditamatkan dan yakin Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan kes ini dengan adil mengikut undang-undang, berpandukan bukti dan keterangan sepanjang perbicaraan.
“Cukuplah kes ini berlanjutan selama 6 tahun 2 bulan, sudah mencecah 100 penangguhan dan permohonan dibuat.
“Saya berharap perayu (Anwar) tidak mencari alasan untuk ‘tunda’ lagi.
“Kebenaran ini penting dan amat bermakna buat saya dan seluruh keluarga saya kerana ia melibatkan maruah dan masa depan,” katanya dalam melalui tulisan di blognya hari ini
Menurut Saiful, sebagai pengadu dan rakyat kecil, saya berkeyakinan penuh bahawa Mahkamah Persekutuan akan mendengar, lalu memutuskan kes ini dengan seadil-adilnya mengikut undang-undang, bukti dan keterangan sepanjang perbicaraan.
Beliau turut berdoa segala pengaruh mahupun tekanan dari pihak tertuduh, pihak luar, juga anasir politik yang cuba mempengaruhi agar Anwar dibebaskan adalah sesuatu yang tidak benar.
Saiful berkata, sudah menjadi kebiasaan beliau menghadapi sesuatu perkara dan siapkan diri berhadapan dengan ‘worst case scenario’.
Katanya, jika keputusan itu tidak memihak kepadanya, beliau tetap istiwamah dengan kebenaran ini walaupun betapa perit sekalipun untuk ditanggung kerana yakin Allah SWT tidak akan menzalimi hambaNya yang menegakkan kebenaran.
“Jika tidak di dunia, di Masyar pasti,” tulisnya mengenai kes rayuan Anwar yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selama dua hari mulai esok.