Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains SMS Sultan Mahmud, Kuala Terengganu yang hilang ketika menyertai acara Maraton Cabaran Antarabangsa Gunung Terom, Sekayu ditemui mati kira-kira jam 6.35 petang tadi.
Ahmad Rafikin Azman, 16 tahun ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat tersepit di celah batu tidak jauh dari trek perlumbaan.
Jenazah mangsa dibawa turun ke kaki gunung jam 6.50 petang dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ahmad Rafikin dilaporkan hilang ketika menyertai maraton di Sekayu Sabtu lalu.
Dia disedari hilang selepas tidak muncul ketika bapanya datang untuk mengambil anaknya selepas perlumbaan tamat.
Menurut penganjur, Ahmad Rafikin hanya melalui pusat pemeriksaan pertama trek perlumbaan tetapi tidak kelihatan sehinggalah ke garisan penamat dalam kategori junior 12 kilometer yang disertainya.