Kejadian puting beliung berlaku pada jam 3 petang tadi sekitar Kuala Sala, Kota Sarang Semut, Kedah menjadikan ia kejadian keempat berlaku di negeri tersebut.
Sekurang-kurangnya 25 buah rumah dan empat rumah kedai di Kampung Sungai Nonang, Simpang Empat Kangkung dekat sini rosak akibat dilanda puting beliung petang tadi.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 buah rumah di Kampung Sungai Nonang, Mukim Tebengau dekat sini rosak teruk akibat dilanda puting beliung kira-kira 2.30 petang, Rabu.
Pusaran angin yang dipercayai datang dari arah sawah di kampung tersebut (dari arah utara) berlaku dalam tempoh 10 minit mengejutkan orang ramai yang ketika itu sedang beristirahat di rumah.
Seorang mangsa, Che Tom Ahmad, 54, berkata, dia bersama dua anak Mohamad Azrul Zainal, 14, dan Zahirah Zainal, 16, dikejutkan dengan deruman angin kuat yang mengangkat serta merosakkan bumbung rumah mereka dalam sekelip mata.Suri rumah itu berkata, mereka terpaksa berlindung dalam rumah kerana tidak dapat membuka pintu utama disebabkan tekanan angin yang kuat bagi menyelamatkan diri daripada dihempap kayu dan zink.
“Saya dan dua anak panik ketika itu dan hanya mampu berdoa selepas tidak dapat buka pintu. Syukur Alhamdulillah kami semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Rabu.
Che Tom berkata, dia dan dua anak masih trauma dengan kejadian itu yang mengakibatkan kerosakan teruk pada bumbung rumah mereka berusia hampir 40 tahun itu.
Katanya, keluarganya turut menanggung kerugian selepas semua barangan dalam rumah itu termasuk peralatan elektrik dan perabot rosak akibat terkena hujan yang turun selepas puting beliung memusnahkan rumahnya.
Seorang lagi mangsa Nashirah Othman, 30, berkata, ketika itu dia sedang mengangkat kain jemuran dan dipanggil masuk ke dalam rumah oleh suaminya Sukri Salleh, 41, selepas terdengar bunyi yang kuat menghampiri rumah mereka.
“Masa tu angin terlalu kuat dan saya memeluk dua anak yang menangis kerana takut bunyi angin yang terlalu kuat,” katanya.
Sementara itu saksi kejadian, Mohd Sobri Bakar, 37, berkata, dia ternampak pusaran angin besar datang dari arah sawah ketika dia sedang melakukan kerja di belakang kedai makan miliknya di kampung itu.
Angin mai (datang) berpusing dan habis meja makan diterbangkan ke luar. Saya panik dan laungkan azan. Angin tu mai dengan cepat dalam sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, Junaidah Abd Rashid, 39, yang menceritakan detik kejadian itu berkata, pusaran angin itu mencemaskan beliau dan anaknya Ainul Madiah Salim, 3, serta rakannya Rajmah Bakar, 57, yang ketika itu berada dalam kereta, ketika mereka berhenti untuk membeli air di sebuah kedai makan.
Katanya, pusaran anghin tersebut menyebabkan keretanya bergoyang kuat dan seolah-olah seperti diangkat oleh pusaran angin tersebut.
“Saya peluk anak yang menangis sebab takut dan saya dan rakan hanya mampu melaungkan azan. Kami takut nak keluar daripada kereta sehingga keadaan pulih seperti biasa,” katanya.
Pembantu Tadika Kemas Kampung Teluk Dulang dekat sini berkata, dia melihat pusaran angin menggolekkan meja dalam kedai makan tersebut dan ada papan tanda kedai yang terjatuh.
Katanya, dia bersyukur kerana mereka bertiga tidak mengalami sebarang kecederaan.