Dengar komen-komen pemimpin PAS pasal hudud nampak macam, pemimpin parti itu beria-ia mempertahankan hasrat kerajaan Kelantan melaksanakan undang-undang itu.
Baik pemimpin atasan, ulama turun ke peringkat bawah, ada yang beri kata du kepada pemimpin DAP yang tegar menentang hudud.
Namun, sejak isu hudud dibangkitkan PAS termasuk modal pada musim pilihan raya, PAS sekadar bercakap dan terus bercakap.
Ibarat ayam jantan yang berkokok, tetapi penyudahnya isu itu senyap dan DAP terus didakap.
Cuma kenyataan Ketua Penerangan PAS Selangor, Zaidy Abdul Talib nampak lebih bijak berbanding rakan-rakannya yang lain.
Mungkin sebelum ini tidak ada peluang sangat bercakap sebab tidak ada jawatan besar dalam parti dan kerajaan.
Kini, Zaidy yang juga Adun Taman Templer adalah Exco kerajaan Selangor.
Kesimpulan Zaidy, kenapa perlu diharaikan kalau DAP berterusan menolak hudud kerana pemimpin DAP yang bukan Islam tentu akan menolaknya kerana tidak faham mengenai hukum berkenaan.
Persoalan sekarang, katanya adalah PKR kerana majoriti pemimpin parti itu termasuk peringkat Parlimen adalah orang Melayu.
“Kepada orang bukan Islam, kita tidak boleh nak paksa.
“Tetapi bagi orang Islam, kita ada kewajipan untuk menerimanya. Kita mesti percaya, ada akidah. Kalau tolak, kita berdosa dan sebagainya.
“Justeru, dari sudut orang beragama Islam, PKR mesti menyokong,” katanya kepada pemberita di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) di Gombak, Selangor, Isnin.
Kesimpulannya kata Zaidy, PKR wajib menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud, memandangkan pemimpin tertingginya beragama Islam.
Katanya, PKR tidak sewajarnya mengikut jejak langkah DAP yang menolak hudud kerana parti itu majoriti ahlinya bukan beragama Islam.
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan undang-undang yang akan dibawa PAS dalam Dewan Rakyat itu sebagai “bermasalah”.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Selangor itu bagaimanapun optimis pergeseran isu hudud tidak akan menjejaskan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, (PR).
Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya minggu lalu dalam satu resolusi bertegas menolak hudud dilaksanakan di negeri atau pusat dan dipersetujui sebulat suara 938 perwakilan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata PR mesti jelas dengan kedudukannya jika mahu menawan Putrajaya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
“Itu mesti jelas kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana, bukan pengundi ekstrem,” katanya.
Mungkin kenyataan Zaidy ini cuba menyedarkan PKR terutama Anwar tetapi apa dikhuatiri, PAS akhirnya akan mengalah juga kepada PKR, sama seperti mereka tunduk kepada DAP sebelum ini.
Lihat sajalah krisis menteri besar Selangor, PAS mengalah dan menolak jawatan itu walaupun mempunyai lebihan kerusi di Dewan Undangan (DUN) Negeri Selangor.
PAS juga mengalah apabila satu kuota Exco ditarik balik dan hanya diganti jawatan timbalan speaker.
Itupun selepas berlawan undi dengan DAP.
Justeru itu, tidak hairan jika PAS hanya sekadar bising-bising mengenai hudud kerana tanpa isu itu PAS mungkin akan dilupai kerana ramai parti itu sudah muak melihat PAS diperkuda PKR dan DAP.