Orang ramai yang berurusan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta di sini, Selasa terkejut apabila lantai seluas sembilan meter persegi di ruang legar bangunan itu mengalami keretakan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian itu berlaku kira-kira 3.30 petang itu dipercayai akibat perubahan suhu tanah di bawah kawasan lantai itu berikutan perubahan cuaca.
“Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas tiba di kompleks itu pukul 4.11 petang untuk membuat pemeriksaan dan mendapati bangunan itu masih selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata bangunan itu masih dalam tempoh jaminan kontraktor pembinaan selama lima tahun.
“Bangunan ini baru empat tahun diduduki dan berdasarkan temu bual dengan pegawai KDN, kami dimaklumkan pihak kontraktor akan membaiki kerosakan tersebut,” katanya.