Polis kini sedang menyiasat untuk mengenal pasti bagaimana anggota tentera yang terbunuh dalam letupan di rumahnya dekat Gurun semalam memiliki bahan letupan milik pasukan keselamatan.
Selain itu, polis juga turut menyiasat motif anggota tentera berusia 37 tahun itu dikataan cuba menggergaji atau memotong bom berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisoner Nashir Ya berkata, ada saksi yang mendakwa melihat lelaki itu berbuat demikian di kawasan belakang rumahnya di Taman Ria Mesra, sebelum letupan petang semalam.
“Kita percaya bom yang meletup di rumah berkenaan milik pasukan keselamatan kerana beberapa serpihan bahan letupan yang dijumpai di lokasi jelas menunjukkan ia digunakan pasukan keselamatan Malaysia.
“Selain itu, pihak kami turut menemui sejumlah besar mercun yang dilarang di bahagian belakang rumah milik anggota tentera yang terkorban itu,” katanya dalam satu kenyataan,Khamis..
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, sebuah bom dipercayai jenis mortar meletup di sebuah rumah milik anggota tentera, menyebabkan tiga maut dan dua parah, manakala lebih 40 rumah terjejas termasuk kira-kira 10 dilapor serius akibat terkena impak letupan.
Ketika kejadian, anggota tentera berkenaan, Koperal Ayob Hassim dari Kem Lapangan Terbang di Sungai Petani dan bertugas di Kem Hobart, Gurun, dikatakan sedang mengubahsuai bom berkenaan sehingga menyebabkan ia meletup.
Sementara itu, sumber berkata, dua mangsa yang dilapor parah iaitu isteri Ayob, Sharifah Hasinda, 30, yang mengandung enam bulan dan jiran mereka, Zuraida Mat Robete, 30, masing-masing kritikal dan kini ditempatkan dalam pemerhatian rapi di zon merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di Alor Setar.