BANGKOK: Sebuah pesawat AirAsia yang baru sahaja berangkat ke destinasi di timur laut Thailand terpaksa berpatah balik ke Bangkok hari ini selepas juruterbang mengesan ‘sesuatu yang di luar kelaziman dalam ruang penyimpanan, ujar jurucakap rasmi syarikat penerbangan tersebut.
Insiden tersebut berlaku sejurus selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Indonesia menemui serpihan di permukaan laut yang disahkan daripada pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang sewaktu dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura Ahad lalu.
Pesawat AirAsia FD3254 kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok selepas ia berangkat menuju Khon Kaen pada jam 11.10 pagi waktu tempatan.
Penerbangan tersebut diteruskan kemudiannya selepas kumpulan jurutera tidak menjumpai sebarang masalah teknikal.
“Selepas berangkat dari Don Mueang, juruterbang mengesan ketidaklaziman kecil dalam ruang penyimpanan, maka atas sebab mengutamakan keselamatan penumpang, pesawat tersebut kembali mendarat di Don Mueng untuk pemeriksaan terperinci.
“Para jurutera tidak menemukan sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan FD3254,” ujar Thai AirAsia dalam sebuah kenyataan media.
Tiada penumpang yang membatalkan penerbangan mereka dan pesawat tersebut selamat mendarat di destinasinya dengan sejam kelewatan.
Seorang jurucakap AirAsia di Lapangan Terbang Don Mueng memberitahu bahawa juruterabng membuat keputusan untuk berpatah balik kerana terdengar bunyi yang mencurigakan di ruang penyimpanan. Dia bagaimanapun tidak memberitahu sebab bunyi itu berlaku.