Angin kencang, hujan lebat, arus deras serta laluan darat yang ditenggelami air merupakan antara cabaran yang dihadapi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha membantu mangsa banjir.
MKN yang menyelaraskan operasi pasukan penyelamat yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) setakat ini berjaya meminimumkan korban jiwa di kawasan banjir.
Sejak awal minggu lepas banyak kawasan di negeri-negeri Pantai Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang – digenangi air dengan banjir kali ini dikatakan sebagai antara yang paling buruk pernah dihadapi negara.
Di Pantai Barat, beberapa kawasan di Perak, Negeri Sembilan, Kedah dan Johor turut dilanda banjir, bagaimanapun keadaan tidak seburuk seperti di Pantai Timur.
Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata keadaan cuaca yang tidak menentu dan laluan yang tersekat menyebabkan aset-aset yang digerakkan tidak dapat digunakan secara optimum.
“Kerana faktor-faktor itulah helikopter yang kita gunakan bagi kerja menyelamat berhadapan dengan kesukaran seperti jarak penglihatan yang terhad ekoran hujan lebat dan menyimpang daripada laluan asal kerana ditolak angin kuat. Selain itu bot penyelamat juga terbalik kerana arus yang cukup kuat,” katanya.
Pun begitu, kesukaran yang dialami itu tidak mematahkan semangat pasukan MKN untuk terus mengembeling tenaga memastikan kesemua mangsa yang terjejas dapat diselamatkan atau dipindahkan secepat mungkin.
Menceritakan keadaan awal banjir di Kelantan, negeri yang paling teruk, terjejas kerana banjir, beliau berkata kenaikan air secara mendadak berlaku dalam keadaan yang cukup pantas. “Pun begitu, kita telahpun mengkaji arah aliran air banjir. Contohnya banjir di Kuala Krai, air dari situ akan memasuki sungai Kelantan dan seterusnya ke Kota Baharu. Jadi, mana-mana kawasan yang rendah di sekitar Kota Baharu sudah pastinya akan banjir.
“Jadi kita telah memberikan amaran awal kepada penduduk supaya segera berpindah sebelum air mula naik. Hasil gerakan pantas kumpulan penyelamat, angka kematian itu tidak tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Thajudeen berkata walaupun timbul pelbagai dugaan pasukan penyelamat berbuat sedaya yang boleh dengan komitmen tinggi dipamerkan setiap anggota pasukan penyelamat.
Ini ditambah dengan keadaan cuaca baik di Kelantan dan Terengganu sejak Selasa yang membantu melancarkan lagi operasi pasukan penyelamat, katanya.
“Sebelum ini Kelantan dan Terengganu merupakan antara negeri yang sukar bagi MKN menjalankan misi bantuan, tetapi kini ada laluan darat yang sudah boleh dilalui. Bagaimana pun bekalan makanan di Kelantan semakin berkurangan dan pasaraya yang ada sudah kehabisan bekalan. Ini menyebabkan kita terpaksa ambil bekalan dari Kuala Lumpur.
“Bantuan makanan dari Kuala Lumpur itu akan dihantar menggunakan pesawat milik syarikat penerbangan swasta seperti MASkargo dan juga pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus ke Kota Baharu,” katanya.
Mohamed Thajudeen berkata banyak tempat di Kelantan yang sebelum ini terputus hubungan kerana dinaiki air kini sudah mula menunjukkan tanda-tanda air mula surut.
Beliau berkata berikutan tanda positif itu, pihaknya berjaya membawa sebanyak 85 tan barangan makanan dan bukan makanan menggunakan lori kontena yang mengambil masa 11 jam untuk sampai ke Kota Baharu dari Kuala Lumpur.
Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor adalah seramai 185,998 orang. Banjir kali ini juga turut mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang lagi dilaporkan hilang.