IPOH — Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan separuh bogel dengan sebilah pisau terpacak di leher di sebuah rumah flat di Jalan Hospital, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata mayat wanita berusia 79 tahun itu ditemui oleh adik lelakinya yang datang ke rumah mangsa kira-kira pukul 11.30 malam.
Beliau berkata mangsa yang tinggal bersendirian sejak empat tahun lepas ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan percikan darah di bilik tidur rumahnya.
“Adik lelakinya yang datang ke rumah mendapati pintu rumah tidak berkunci dan menemui mayat kakaknya di salah satu bilik rumah itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 15 anggota polis yang terjejas banjir dari lima daerah di negeri ini di sini, Khamis.
Osman berkata motif kejadian masih belum diketahui dan akan disiasat dari semua sudut.
Katanya mayat wanita itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.