Pengarah Operasi Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), SB Supriyandi, berkata kerja-kerja mengangkat mangsa berjalan lancar berikutan cuaca pada hari keenam operasi baik walaupun diselangi angin kencang dan hujan.
“Jumlah keseluruhan mangsa yang kini sudah berjaya diambil adalah 22 orang. 18 daripadanya sudah berada di Surabaya manakala empat lagi masih di sini (Pangkalan Bun),” katanya.
Operasi SAR yang turut disertai pasukan daripada Malaysia diwakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menangguhkan misi pencarian hari ini lewat petang tadi.
Sebelum itu, pesawat Korea Selatan P3-C Orion KN-01 mengesan enam mayat, termasuk tiga penumpang yang duduk di barisan yang sama dalam pesawat malang itu.
“Selepas mencari selama dua jam, mereka ternampak tiga mayat duduk di barisan yang sama,” demikian menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh unit komunikasi tentera Indonesia, lapor detik.com.
Pesawat Korea Selatan itu bagaimanapun, buat masa ini telah pulang ke pangkalan.
Turut dilaporkan bahawa sebuah kapal tentera laut Indonesia berjaya mengesan ekor pesawat AirAsia yang terhempas di dasar laut/ petang tadi.
“Kami berjaya mengesan ekor pesawat menggunakan sonar imbasan sisi,” kata Kolonel Yayan Soyan dalam Metro TV.
Menurutnya, objek itu berada di dasar laut pada kedalaman 29 meter.