Tiga penjenayah ditembak mati oleh polis di Sungai Siput, Perak, awal pagi tadi.
Mereka berusia antara 30 dan 40 tahun.
Menurut Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam, polis yakin dapat menyelesaikan 17 kes pecah rumah dan samun di Perak, membabitkan penjenayah warga asing.
Katanya, pada kejadian jam empat pagi, sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas Perak sedang menjalankan Ops Cantas di kawasan itu.
Polis kemudiannya terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.
Polis mengarahkan pemandu kereta itu berhenti, namun suspek cuba menghimpit kereta polis dan melepaskan beberapa tembakan rambang.
Hasil pemeriksaan, polis menemui sepucuk pistol, parang, kapak dan sarung tangan di dalam kenderaan yang dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.
Kereta Myvi yang digunakan penjenayah dilaporkan hilang pada 20 Ogos tahun lalu di Puchong, Selangor.
Penjenayah terbabit dipercayai menyasarkan rumah di kawasan terpencil.
Menurut Datuk Paramasivam, kumpulan itu aktif melakukan jenayah sejak Julai tahun lalu, di sekitar daerah Ipoh, Batu Gajah, Taiping, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.
Sementara itu empat penjenayah dipercayai dari kumpulan sama, ditahan pada 7 Januari lalu di Chemor.
Mereka kini ditahan reman sehingga 21 Januari ini.