RAKAMAN video menunjukkan bagaimana penjaga gol skuad kebangsaan China mendapatkan nasihat daripada budak pengutip bola sebelum menyelamatkan tendagan penalti pemain Arab Saudi kini menjadi viral.
Sejurus sebelum bersedia menghadapi tendangan penalti itu, Wang Dalei beralih memusing badannya ke belakang dan bertanyakan pendapat budak terbabit arah mana yang sepatutnya dia pergi bagi menyelamatkan gawang pasukan China.
Wang kemudian bertindak mengikut pandangan budak terbabit dan bola itu berjaya diselamatkan.
Pelbagai media seluruh dunia mengutip berita berkenaan.
Wall Street Journal menyiarkan berita itu dengan tajuk: Ball Boy Becomes China Soccer Hero (Budak pengutip bola wira bola sepak China).
“Pasukan bola sepak China menemui wira yang tidak dijangka apabila seorang budak berusia 12 tahun dari Brisbane menjadi pujaan ekoran kemenangan 1-0 ke atas Arab Saudi,” lapor akhbar itu.
Laman sesawang USA Today, Sports Illustrated, Bleacher Report dan 101 Great Goals juga melaporkan insiden itu.
Sports Illustrated pula melaporkan: “Hanya kira-kira 25 peratus tendangan penalti diselamatkan penjaga gol. Maka dapat difahami apabila seseorang penjaga gol mendapatkan bantuan dari luar.”
Insiden itu sebenarnya menaikkan imej Wang kerana sebelum ini prestasinya tidak memuaskan. Padas 2010, dia dianggap memalukan China dan terpaksa meminta maaf kerana melabel peminat sebagai “anjing” ekoran kekalahan mereka kepada Jepun di Sukan Asia.
Sementara itu China mempelawa budak terbabit bertemu secara langsung dengan pemain skuad berkenaan ketika sesi latihan semalam.