Mahkamah Persekutuan menolak permintaan Gereja Roman Katolik yang mahukan lebih ramai panel hakim bagi mendengar semula permohonannya berhubung kes kalimah Allah.
Penerbitan mingguannya, The Herald menghantar permohonan pada Rabu dalam usaha pihak gereja untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan perintah Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah Allah adalah tidak mengikut undang-undang.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong mengetuai panel lima hakim yang terdiri daripada Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Ramly Ali dan Datuk Azahar Mohamed untuk mendengar permohonan tersebut pada Rabu.
Pihak The Herald diketuai oleh Datuk Dr Cyrus Das.
Pada 14 Oktober 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009.
Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun tahun lalu yang menolak permohonan gereja itu untuk mendapatkan kebenaran merayu berikutan keputusan majoriti 4-3 panel tujuh hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Gereja Roman Katolik, yang ketika itu dipimpin Ketua Paderi Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2009 dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.