Politik buruk dan perniagaan teruk.
tu kecaman negara pengeluar minyak Oman berhubung keputusan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum, OPEC November tahun lalu untuk tidak mengurangkan pengeluaran sekaligus menyaksikan harga minyak dunia jatuh merudum.
Peneraju OPEC, Arab Saudi berkata, keputusan itu perlu bagi menghalang kartel itu kehilangan penguasaan pasaran selepas peningkatan mendadak pengeluaran minyak shale Amerika Syarikat.
Oman, jiran Arab Saudi yang terjejas teruk kerana penurunan hasil minyak bagaimanapun berkata, ia langsung tidak memahami logik keputusan OPEC.
“Saya gagal memahami bagaimana penguasaan pasaran menjadi lebih penting dari hasil,” kata Menteri Minyak dan Gas Oman, Mohamed al-Rumhi pada persidangan minyak di Kuwait.
Menurutnya, sebelum keputusan OPEC itu, minyak didagangkan pada paras RM360 (US$100) setong dan OPEC memperolehi pendapatan RM10.8bilion (US$3billion) sehari daripada keluaran 30 juta tong sehari.
“Bilamana pendapatan menurun ke USD2.9billion, USD2.8billion, mereka bersatu mempertahankan penguasaan pasaran dan hasilnya, pendapatan menurun kepada hanya USD1.5billion.
“Ianya keputusan politik yang saya tidak faham. Perniagaan? Ini bukan perniagaan,” katanya.
Kejatuhan harga minyak katanya, memberi impak besar kepada negara teluk itu dan ‘keadaan kini cukup sukar di Oman’.
Pendapatan hasil pengeluaran sejuta tong minyak sehari menyumbang 80 peratus kepada pendapatan Oman dan negara teluk itu menjangkakan berdepan defisit bajet sehingga RM23.292bilion (USD6.47billion) bagi 2015.