Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 13 Mac untuk pendengaran kes saman sivil yang dikemukakan Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaaribuu.
Peguam, Ramkarpal Singh Deo yang mewakili Setev dan tiga lagi ahli keluarga berkata, kes itu akan didengar pada Khamis pagi didepan pendaftar Mahkamah Tinggi.
“Kami telah mengemukakan kepada pendaftar Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan rekod rayuan kes jenayah yang relevan untuk kes ini,” katanya di Mahkamah Tinggi, Khamis.
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas anggota Unit Tindakan Khas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh model warga Mongolia itu.
Setev menuntut ganti rugi RM100 juta terhadap kerajaan Malaysia berikutan kematian anak perempuannya itu.
Permohonan itu turut membabitkan isteri Setev, Altantsetseg Sanjaa dan dua cucu lelakinya yang masih kecil.
Saman sivil yang difailkan pada Jun 2007 itu tertangguh kerana pihak Mahkamah Tinggi mahu prosiding jenayah berhubung kes berkenaan diselesaikan terlebih dahulu.