SEJAK Mahkamah Persekutuan mengekalkan penjara lima tahun ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 10 Februari lalu, pelbagai gelagat memualkan ditunjukkan oleh pakatan pembangkang.
Terbaharu Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyatakan Ketua Pembangkang itu akan dibebaskan dari penjara jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14. Penulis tidak mahu mengulas apa-apa mengenai kenyataan Kit Siang itu, biarlah rakyat menilai.
Apa yang ingin penulis persoalkan adakah kerana yang dihukum itu Anwar maka segala-galanya mahu dibenar atau ‘dihalalkan’? Antaranya;
* Adakah kerana dia Anwar maka mahkamah dituduh tidak adil dan sistem kehakiman sudah rosak? Sedangkan selama ini mahkamah itulah yang membenarkan kes liwat tersebut berlanjutan hampir enam tahun.
Mahkamah dan panel hakim itulah juga yang membenarkan penangguhan perbicaraan lebih 100 kali demi mendengar pelbagai permohonan Anwar. Malah sistem kehakiman tersebutlah yang mengizinkan Anwar dibela oleh 14 peguam yang hebat-hebat belaka. Oleh itu adakah kerana keputusan tidak menyebelahi Anwar maka pembangkang berhak menghina mahkamah dan panel hakim sesuka hati mereka?
Advertisement
* Adakah kerana dia Anwar maka ahli keluarganya berhak ‘Berarak Untuk Kebebasan’ termasuk mahu mendapat sokongan kuasa asing bagi membebaskan ketua pembangkang itu?
Walaupun dia bernama Anwar, itu bukan bermaksud negara asing berhak campur tangan urusan dalaman negara ini. Malaysia negara berdaulat oleh itu jangan kerana dia Anwar maka ada negara cuba mencabul kedaulatan negara kita.
* Adakah kerana dia Anwar maka kerusi Parlimen Permatang Pauh seolah-olah hanya berhak diwarisi oleh isteri atau anak-anaknya? Apakah tiada orang lain dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau Barisan Nasional (BN) yang lebih layak? Fikirkanlah semasa Anwar dipenjara kali pertama dahulu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipilih bertanding di kerusi tersebut. Apabila Anwar bebas, Wan Azizah sewenang-wenangnya meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya menduduki semula kerusi tersebut melalui satu pilihan raya kecil.
Justeru adakah kerana dia Anwar, demokrasi boleh dipermainkan begitu sekali? Bagaimanakah dengan hak penduduk Permatang Pauh yang sudah pasti memerlukan seorang Ahli Parlimen yang berupaya membela nasib mereka dan bukan sekadar menjadikan kerusi wakil rakyat itu untuk mencari kuasa semata-mata?
* Kita juga ingin bertanya adakah kerana dia Anwar, maka dia berhak menerima layanan istimewa sepanjang di penjara? Bukankah dari segi undang-undang, setiap banduan perlu dilayan sama rata?
Kenapakah hanya Anwar sahaja perlu diberi keistimewaan sedangkan beliau seperti juga banduan lain didapati bersalah berdasarkan segala bukti yang dikemukakan di mahkamah?
Oleh itu cukup-cukuplah isu Anwar dipenjarakan mahu dipolitikkan, carilah modal lain kerana rakyat sudah muak apabila kestabilan negara terus mahu dikucar-kacirkan hanya kerana seorang individu. Kebenaran tetap kebenaran, biarpun 1001 kepalsuan cuba diciptakan.