Jika ada pihak mahu membuat kupasan “Alasan Penghakiman” Liwat 2, ianya adalah hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan apa juga undang-undang yang menghalangnya.
Itu pendirian Mohd Saiful Bukhari Azlan apabila ditanya BNBBC.my mengenai ‘road show’ penjelasan oleh peguam Tan Sri Mohamad Shafee Abdullah berhubung perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagaimanapun saya tidak akan mengulangi apa juga keterangan yang telah saya berikan di Mahkamah sebelum ini di mana-mana forum di luar,” ujar Saiful.
Baginya, beliau sudah percaya dan bersyukur dengan Alasan Penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari 2015 yang memutuskan beliau sebagai saksi ‘çredible.’
Begitu juga Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan beliau adalah saksi yang ‘credible’.
Menurut Saiful, selepas perbicaraan terdapat banyak pihak yang memberikan pelbagai pendapat berkenaan prosiding perbicaraan dan rayuan yang telah diputuskan.
“Saya percaya ada baiknya sekiranya mana-mana pihak yang ingin memberikan apa juga pendapat supaya membaca dan memahami dahulu Alasan Penghakiman dari prosiding di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan sehinggalah di Mahkamah Persekutuan” katanya.
Namun jika ada pihak mahu membuat kupasan Alasan Penghakiman, beliau percaya ia adalah hak kebebasan bersuara selagi tertakluk pada undang-undang.
Beliau menegaskan selama 7 tahun bergelumang dengan kes ini, ia adalah sebuah kehidupan yang sukar dan mencabar sebelum dan selepas kes Liwat 2 selesai.
Fokus beliau ketika ini adalah untuk mencari nafkah untuk anak dan isteri, bina hidup serta terus ke hadapan.
“Walaupun sukar, saya percaya rezeki itu adalah dari Allah swt dan Allah tidak zalim” tegasnya.
Tambahnya lagi, “Maaf cakap, diluar sana walau tidak semua tapi ada segelintir yang mengambil berat tentang kes ini bukan untuk membela saya, tapi hanya untuk kepentingan diri masing-masing, membantu jauh sekali”.
Saiful menjelaskan, mereka yang tidak tidak percaya pada kes ini pula akan terus mengecamnya dan tetap tidak percaya walau apa pun bukti dibentangkan.
“Tidak mengapalah, saya sentiasa doa semoga Allah buka hijab pada mereka, diperlihatkan kebenaran,” katanya dalam kenyataan kepada BNBBC.my
saifulbabyIni adalah kenyataan beliau yang kedua selepas perbicaraan kes Liwat 2 yang menyabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun.
Fakta Kes1. Saya sebagai Pengadu telah membuat Laporan Polis pada tahun 2008.
2. Susulan daripada Laporan Polis terbabit Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) telah pun dituduh dan kemudiannya disabitkan, sebagaimana pertuduhan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
3. Saya telah pun memberikan keterangan secara bersumpah di Mahkamah Tinggi dan segala keterangan saya telah pun diuji dan diperiksa balas oleh barisan peguambela yang mewakili DSAI di Mahkamah.
4. Mahkamah Persekutuan iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia telah pun membuat keputusan pada 10 Feb 2015 dan memutuskan bahawa saya adalah saksi yang ‘credible’. Begitu juga Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan yang saya adalah saksi ‘credible’.
5. Saya percaya bahawa proses prosiding Jenayah ke atas DSAI lanjutan daripada Laporan Polis yang saya buat pada 2008 telah pun berakhir dan ke semua pihak iaitu saya sebagai Pengadu dan Tertuduh telah pun diadili dengan sebaiknya dan dengan sepenuhnya oleh Institusi Kehakiman di Malaysia.
6. Saya berpendapat Mahkamah telah memberi ruang sepenuhnya kepada ke dua-dua pihak dan mengadili kes ini dengan sebaiknya mengikut undang-undang. Untuk rekod, prosiding perbicaraan dan rayuan telah berlangsung selama hampir 7 tahun.
Pasca Keputusan
7. Pada hari ini, terdapat banyak pihak yang memberikan pelbagai pendapat berkenaan prosiding perbicaraan dan rayuan yang telah diputuskan. Saya percaya ada baiknya sekiranya mana-mana pihak yang ingin memberikan
apa jua pendapat supaya membaca dan memahami terlebih dahulu “Alasan Penghakiman” dari prosiding di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan sehinggalah di Mahkamah Persekutuan sebelum memberikan ulasan.
8. Saya percaya selepas kes telah diadili sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, terdapat pihak-pihak yang membuat kupasan berkenaan “Alasan Penghakiman” yang telah diberikan yang mana saya percaya itu adalah hak mana-mana individu, sebagaimana hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan apa jua undang-undang yang menghalangnya.
Pendirian
9. Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan mengulangi apa jua keterangan yang telah saya berikan di Mahkamah bagi prosiding jenayah sebelum ini di luar atau mana-mana forum.
10. Saya telah memberikan keterangan di dalam Mahkamah sebelum ini dan ia adalah suatu yang telah direkodkan di dalam Nota Keterangan dan rekod prosiding perbicaraan. Justeru pada hemat saya, tidak perlu lagi saya mengulanginya di luar Mahkamah.
11. Tertuduh juga telah disabitkan, dan sedang menjalani hukuman.
12. Pendapat saya tentang keputusan Mahkamah Persekutuan adalah sebagaimana yang telah saya nyatakan di dalam blog saya ini pada tarikh 10 Feb 2015 tersebut.
Luahan, Terkilan
13. Sudah 7 tahun saya bergelumang dengan kes ini. Kehidupan saya amat sukar dan mencabar sebelum dan juga selepas kes ini selesai. Fokus saya sekarang ini untuk “survive”, cari nafkah untuk anak isteri, bina hidup dan terus kehadapan. Walaupun sukar, saya percaya rezeki itu dari Allah. Allah tidak zalim.
13. Maaf cakap, diluar sana, walau tidak semua, tapi ada segelintir yang mengambil berat tentang kes ini bukan untuk membela saya, tapi hanya untuk kepentingan diri masing-masing, membantu jauh sekali.
14. Yang tidak percaya pada kes ini pula, akan terus kecam saya dan tetap tidak percaya walau apa pun bukti dibentangkan. Tidak mengapalah, saya sentiasa Doa semoga Allah buka hijjab pada mereka, diperlihatkan kebenaran. Saya tidak terkesan dan simpan dendam.
14. Apapun, saya bersyukur kepada Allah SWT, kerana dengan izinNya kebenaran dapat ditegakkan, juga telah memberi saya peluang untuk terus hidup di dunia ini.
MOHD SAIFUL BUKHARI AZLAN