Peguam, Zulkifli Nordin mempertikaikan isi kandungan dokumen pengampunan yang dikemukakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mewakili suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu.
Jelas bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu, permohonan pengampunan yang dikemukakan Dr Wan Azizah wajib ditolak kerana ianya dibuat tanpa persetujuan Anwar.
Katanya, ini kerana Anwar konsisten dengan pendirian tidak mahu membuat permohonan pengampunan.
“Adakah Wan Azizah membuat permohonan ini tanpa pengetahuan atau persetujuan Anwar? Kalau benar Wan Azizah membuat permohonan pengampunan ini tanpa pengetahuan atau persetujuan Anwar, ini adalah satu penghinaan terhadap pendirian suaminya,” kata Zulkifli dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, asas kepada permohonan pengampunan adalah tertuduh mengaku bersalah terhadap kesalahan yang disabitkan, menyesal dengan kesalahan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi.
“Elemen-elemen ini tidak ada dalam permohonan Wan Azizah maka ianya wajib ditolak dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya,” kata beliau.
Sebaliknya, Zulkifli berkata, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang dilihat cuba memperlekehkan institusi pengampunan Diraja dengan menjadikan alasan ‘kehakiman tidak telus’ sebagai alasan pengampunan.
“Permohonan tersebut juga suatu penghinaan kepada institusi kehakiman yang dilantik dan bernaung dibawah Yang di-Pertuan Agong kerana menjadikan alasan “kehakiman tidak telus” sebagai alasan permohonan pengampunan,” katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya hanya pesalah yang dijatuhi hukuman mati atau penjara sepanjang hayat akan memohon pengampunan bagi tujuan pengurangan hukuman.
Bagaimanapun, katanya, adalah agak luar biasa bagi seorang yang disabitkan kesalahan meliwat dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun untuk memohon pengampunan atas hukuman tersebut.
“Apatah lagi bagi tertuduh yang selalu melaungkan slogan “Lawan Tetap Lawan”. Adakah keluarganya membuat permohonan pengampunan kerana Anwar dikatakan tidak mampu melawan nyamuk didalam penjara seperti yang dimaklumkan Wan Azizah?,” soal Zulkifli.
Pada Selasa, keluarga Anwar memfailkan rayuan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, pada saat-saat akhir terhadap hukuman penjara lima tahun yang dihadapinya atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Notis tersebut difailkan bagi mengelakkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Malah, pada Rabu, Sekretariat PKR akan berusaha mendapatkan kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya Anwar dapat hadir pada sidang Parlimen, Mac ini.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, sekretariat itu juga akan berbincang dengan barisan peguam ketua pembangkang itu untuk tindakan susulan.