BELURAN — Seorang ibu yang baharu lima hari melahirkan bayinya antara tiga yang maut dalam nahas jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 59 Jalan Beluran-Telupid, di sini hari ini.
Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 2.15 petang itu melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata pemandu kereta Myvi dikenali sebagai Ridzuan Basnu, 30, isterinya, Noorlilah Masli, 25, dan ibu Ridzuan, Gaya Gudang, 50 meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiga penumpang kereta sama turut mengalami cedera parah iaitu bayi perempuan Noorlilah berusia lima hari dan anak lelaki mereka, Ahmad Kidam berusia empat tahun serta adik Noorlilah, Mohamad Hazawan Masli.
Ketika kejadian mereka semua dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Kampung Lidong selepas Noorlilah melahirkan bayinya di Hospital Beluran lima hari lepas.
Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan pacuan empat roda dari arah Telupid itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lantas bertembung dengan Perodua Myvi itu, katanya kepada Bernama, di sini.
Menurutnya kejadian itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan, manakala kereta Myvi turut tercampak ke sebelah kiri jalan dan terbalik.
Katanya lelaki yang memandu kereta pacuan empat roda itu yang berusia 30 tahun dan penumpangnya, seorang wanita berusia 25 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Sivanathan berkata pemandu kenderaan pacuan empat roda itu telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.