Kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din bahawa pemimpin PAS yang menjadi beban kepada perjuangan parti akan dihukum oleh ahli PAS menerusi pemilihan parti Jun ini menjelaskan betapa kelompok ulamak dalam parti itu hanya akan membiarkan barua-barua DAP dan PKR terus berleluasa.
“Hal ini akan selesai apabila berlaku muktamar PAS. Panas sekejap, (kerana) berlaku pemilihan..
“Malah saya percaya ahli PAS yang hadir pada muktamar nanti sudah cukup matang untuk membuat pemilihan dan penilaian. Mereka akan tahu siapa yang akan membina parti yang mereka dukung dan siapa yang akan menjadi liabiliti.
“Jadi sudah pastilah siapa yang menjadi liabiliti kepada parti, maka ahli PAS akan menghukum. Oleh itu, maka lepas muktamar nanti, keadaan ini akan reda-seredanya,” katanya.
Kenyataan itu jelas menunjukkan sikap ulamak yang berserah kepada suratan takdir untuk menentukan hala tuju parti Islam itu.
Tanpa menuding jari kepada sesiapa, Haron yakin pergolakan semasa dalam PAS yang dilabelkan sebagai pertembungan di antara golongan ulama dan profesional akan reda selepas ahli parti membuat pilihan mereka.
Pun begitu, kita tidak tahu sama ada di sebalik kenyataan itu, ada gerakan tersembunyi dilakukan puak ulamak untuk menangkis pengaruh kuasa barua-barua parti rakan yang mewah wang untuk membeli pengaruh.
Apa yang pasti ialah barua-barua dalam PAS kini semakin jelas menampakkan diri dan tidak lagi terlalu mengawal tindak tanduk lantaran isu itu semakin meluas diperkatakan.
Malah, tindakan sebahagian ahli PAS pun semakin tidak menunjukkan amalan Islam budaya Melayu lantaran penggunaan tindakan kekerasan antara golongan ulama dan golongan proffesional.
Kejadian bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad ditumbuk dua penceroboh di rumahnya serta kereta Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Hatta Ramli dibakar individu tidak dikenali terang jelas menjadi bukti.
Menurut Hatta, pucuk pimpinan tertinggi parti perlu bertindak dan tidak terus didiamkan kerana beliau bimbang pelaku menganggap tindakan itu direstui.
“Kalau diam, mereka akan naik tocang terutama bila tidak ada isyarat daripada kepimpinan utama.
“Senyap ini maknanya teruskan. Jadi pemimpin kena tegas,” kata Hatta, namun tidak menerangkan kepada siapa ditujukan ucapan itu.
Mereka berdua dan timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu dikategorikan puak profesional yang mencabar kepimpinan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama lain.
Pendedahan rakaman audio Mohamad Sabu yang didakwa mahu menggulingkan Abdul Hadi tambah memburukkan keadaan.
Apa pun, kenyataan Haron yang sekadar mahu membiarkan proses pemilihan Jun ini menjadi penentu nasib barua-barua yang membebankan PAS sudah tentu melegakan puak-puak Anwarinas/Erdogan dan PasMa (Pro DAP) dalam PAS.
Ia kerana kenyataan Haron seolah-olah memberikan ruang masa kepada mereka untuk terus merencanakan strategi percaturan bagi menjamin peralihan kuasa yang diidam-idamkan tokong besar penaja mereka.
Persoalannya, adakah puak ulamak PAS sengaja pejam mata dan memekakkan telinga berhubung dakwaan berlaku penipuan sewaktu proses pengundian kali akhir.
Tepuk dada, tanyalah selera.