Dek istimewanya ikan sembilang atau nama saintifiknya “Plotosus sp” di kawasan ini, hinggakan ia diangkat sebagai nama kampung oleh penduduk setempat.
Menjadi lubuk spesies itu membiak sejak dahulu, Kampung Sungai Sembilang, Jeram, Pantai Remis cukup dikenali dengan keenakan ikan sembilang laut yang terdapat di sini.
Bukan spesies ikan hijrah, ikan sembilang di sini tidak akan ditemui di lokasi lain yang berhampiran dengannya seperti di Tanjung Karang, Kapar mahupun di Kuala Selangor.
Popularitinya menjadi tarikan orang ramai untuk datang mendapatkan ikan yang bentuknya hampir sama dengan ikan keli. Ia sekaligus membantu meningkatkan mata pencarian nelayan Kampung Sungai Sembilang yang bergantung hidup dengan hasil laut di pesisir pantai.
ASAM PEDAS SG SEMBILANG
Jika datang ke sini, tidak akan lengkap tanpa mencuba menu asam pedas ikan sembilang yang dijual di satu-satunya kedai makan bersebelahan kunci air di kampung ini.
Setiap hari terutama hujung minggu dan cuti umum, pelanggannya tidak putus-putus datang menikmati keenakan ikan asam pedas hasil tangkapan nelayan kampung.
Menurut pemilik kedai makan, Mastuki Kileho, sekurang-kurangnya 50 kilogram ikan sembilang akan dimasak setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan dan jumlah itu akan bertambah terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Menghidangkan asam pedas asli Melaka sejak lebih empat tahun lepas, resepi itu dikongsi oleh keluarga mertuanya, yang berasal dari Melaka.
Menetap di Kampung Sungai Sembilang sejak tujuh tahun lepas, menu asam pedas ikan sembilang datang setelah melihat tidak ada kedai makan yang memperkenalkan menu yang dapat mengangkat keistimewaan ikan tersebut.
“Saya terfikir di sini ada ikan sembilang segar yang terbaik, sayang jika tidak dipopularkan. Dengan bantuan isteri dan anak, kami mulakan perniagaan asam pedas dan ia semakin berkembang terutama dengan kedatangan pelancong luar yang semakin ramai,” ujarnya yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan.
Tidak seperti ikan asam pedas biasa, beliau menghidangkan masakan itu dalam mangkuk tembikar bagi memastikan ia panas lebih lama.
Tambahan ikan yang digunakan adalah ikan baharu hasil tangkapan nelayan yang turun ke laut pada setiap pagi dan petang.
“Saya beli daripada nelayan di sini… hasil tangkapan mereka setiap hari akan dibawa terus ke kedai untuk dimasak dan tidak ada yang disimpan atau dibekukan.
“Sebab itu, pelanggan dapat menikmati kemanisan ikan segar di sini… itu yang membezakannya dari kedai di tempat lain,” katanya yang terpaksa menutup operasi kedai sekiranya bekalan ikan terputus terutama ketika laut bergelora dan musim tengkujuh.
Walaupun turut menghidangkan ikan jenis lain seperti pari, kembung, senangin dan jenahak namun permintaannya tidak sebanyak ikan sembilang.
IKAN SEMBILANG TERBAIK
Selain dagingnya yang enak dan pejal, ikan di sini langsung tidak berbau lumpur, menurut Mohd Hussein Sahid, yang juga pelanggan setia di kedai makan milik Mastuki.
Beliau yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur sanggup datang sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk menikmati asam pedas ikan sembilang segar di sini.
“Saya pernah mencuba ikan sembilang di tempat lain di sekitar Kuala Selangor tetapi rasanya tidak sama dengan ikan sembilang di Kampung Sungai Sembilang. Memang puas hati dengan kualiti ikannya,” katanya yang menyukai bahagian kepala ikan sembilang.
Geografi kawasan laut di sini yang berpasir dan berlumpur selain kurang pencemaran menyebabkan daging ikan sembilang agak pejal dan tidak berbau lumpur, menurut Pengerusi Rakan Fish, Sg Sembilang, Norhizam Sarif.
Jika dahulu, ikan sembilang banyak didapati di kawasan muara-muara sungai tetapi kini hanya boleh diperoleh di kawasan pesisir pantai.
Mengakui sejak adanya kedai asam pedas Mastuki, pulangan hasil nelayan kampung semakin meningkat terutama dengan pertambahan permintaan asam pedas sembilang oleh pelanggan.
“Jika dahulu susah juga hendak memasarkan hasil tangkapan yang ada… sekarang dengan adanya kedai asam pedas ini, terus sahaja hantar ke sini,” katanya dan menambah bahawa terdapat 60 nelayan berdaftar di kampung ini.
Selain ikan sembilang, hasil ikan lain yang sering diperoleh nelayan di sini seperti pari, kembung, kerisi, jenahak, ketam dan bawal, yang kesemuanya untuk pasaran penduduk di sekitar Sungai Sembilang.
“Kami langsung tidak menjualnya kepada orang tengah (peraih), jadi sesiapa yang ingin merasa ikan sembilang kampung ini kena dapatkan daripada nelayan atau mencubanya di kedai makan asam pedas di sini,” katanya.
RAKAN FISH
Menurut Norhizam, kehidupan nelayan di sini juga bertambah baik dengan hasil tangkapan ikan yang semakin meningkat sejak dua tahun kebelakangan ini.
Ia banyak dibantu oleh kewujudan Rakan Fish yang melibatkan kerjasama antara nelayan kampung bersama Jabatan Perikanan Malaysia bagi membendung sebarang pencerobohan terutama pukat tunda.
Pendapatan nelayan meningkat antara 30 hingga 50 peratus setiap bulan apabila pencerobohan pukat tunda semakin berkurangan, katanya.
Setiap Rakan Fish yang ditauliahkan akan berperanan sebagai mata dan telinga bagi menyampaikan maklumat dan perkara mencurigakan yang menyalahi undang-undang.
Apabila kes pencerobohan pukat tunda semakin berkurangan, eko-sistem laut juga menjadi lebih baik. Karang-karang semakin pulih, anak ikan dapat hidup dan membesar dengan sempurna dan hasil tangkapan nelayan meningkat, katanya.
Beliau, yang juga Ketua Pangkalan Jeti Kuala Sembilang berkata sebuah pasar basah kini dalam pembinaan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berdekatan jeti tersebut. Pasar itu dijangka siap Mac ini akan memberi kemudahan kepada penduduk kampung dan orang ramai membeli hasil tangkapan nelayan di bawah satu bumbung.
Pasar, yang akan diuruskan oleh nelayan itu sendiri, akan dapat meningkatkan lagi pendapatan apabila ikan-ikan dijual dengan cara lebih sistematik.
MEMBANGUNKAN EKO-PELANCONGAN
Tidak lagi hanya dikenali sebagai perkampungan nelayan tradisi, Kampung Sungai Sembilang kini mula membangun sebagai destinasi pelancongan yang menjadi tumpuan ramai.
Lokasinya, yang hanya mengambil masa kira-kira satu jam pemanduan dari Kuala Lumpur, menjadi destinasi terbaik untuk melihat keindahan alam terutama pantai yang terdapat di sini.
Hujung minggu dan cuti umum, kedatangan pelancong semakin bertambah terutama sejak pembukaan hotel The Kabin di kampung ini pada tahun lepas.
Berkonsepkan sebuah resort butik, hotel yang menggunakan kabin sepenuhnya memberikan satu pengalaman yang unik kepada pelancong.
Menyediakan pakej eko-pelancongan seperti menaiki bot ke pulau-pulau berhampiran di Pulau Jemur dan Pulau Terkukur, aktiviti memancing dan melawat ke kawasan penternakan dan pemprosesan kerang di sekitar Kuala Selangor antara yang disediakan oleh Rakan Fish bagi menambah pendapatan nelayan di sini, jelas Norhizam.