ALOR SETAR – Akibat memakan buah payung Indonesia atau nama saintifiknya Hura Crepitans yang disangka mampu menguatkan badan, seramai 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong di sini terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) II.
Kesemua mereka yang dipercayai pelajar tingkatan satu hingga tiga mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah-muntah kira-kira pukul 10.30 malam, lalu dibawa ke HSB II secara berperingkat-peringkat sehingga pukul 3 pagi hari ini.
Bagaimanapun, hanya 17 pelajar yang dipercayai merupakan atlet olahraga dan sepak takraw sekolah itu masih dirawat sehingga petang ini di hospital berkenaan.
Difahamkan pelajar tersebut yang menginap di asrama sekolah itu memakan buah tersebut selepas salah seorang mereka mendakwa dia pernah memakan buah itu di kampung dan buah tersebut dapat menguatkan badan mereka yang aktif bersukan.
Seorang ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mendapat panggilan daripada pihak sekolah bahawa anaknya sedang dirawat di klinik tersebut kira-kira pukul 7.30 pagi hari ini.
“Melalui cerita anak saya, dia hanya makan sedikit sahaja buah tersebut selepas rakannya memberitahu buah itu mampu menguatkan badan mereka.
“Mereka makan isi berwarna putih, rasanya sedap dan berlemak seperti kuaci, nasib baik anak saya hanya makan sedikit sahaja buah ini,” katanya ketika ditemui di HSB II.
Menurutnya, anak lelakinya itu tidak mengalami cirit-birit dan muntah-muntah, namun dia perlu menjalani rawatan lanjut termasuk membolehkan doktor menjalankan ujian darah.
Sementara itu, seorang pelajar sekolah tersebut yang enggan dikenali berkata, pokok tersebut banyak ditanam di sekolah itu juga dikenali sebagai pokok letup dalam kalangan pelajar kerana buah pokok itu akan meletup apabila jatuh ke tanah.
Sementara itu, Pengarah hospital, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, keadaan semua pelajar terbabit stabil dan doktor yang bertugas akan menjalankan kajian darah ke atas mereka.
“Jika keputusan darah baik kemungkinan mereka akan dibenarkan pulang dan kes ini dipercayai kes pertama berlaku di negeri ini,” jelasnya.
Jurucakap Jabatan Pendidikan Kedah (JPN) pula berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kes keracunan itu dan sedang menunggu laporan daripada pihak doktor sama ada keracunan tersebut sah berpunca daripada pokok itu.
“Jika sah akibat memakan buah tersebut kita akan menebang pokok tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.