Majlis Peguam perlu menegur anggota Parlimen dan pihak-pihak yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Peguam kanan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang mewakili sekumpulan peguam yang menamakan kumpulan mereka G100 berkata badan peguam itu tidak sepatutnya berdiam diri kerana mereka bertanggungjawab memperbetulkan tanggapan salah terhadap sistem perundangan.
Katanya, bagi pihak G100, beliau berharap majlis itu tampil memberi penjelasan kepada pelbagai pihak bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipertikaikan lagi termasuk oleh anggota Parlimen.
Rabu lalu, terdapat anggota Parlimen pembangkang mengecam Mahkamah Persekutuan yang pada 10 Feb membuat keputusan bahawa Anwar bersalah dan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
“Kami berharap Majlis Peguam membuat kenyataan bahawa apa yang berlaku di Parlimen baru-baru ini adalah ‘menghina mahkamah’. G100 tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam kes ini dan ia menjadi tugas pertubuhan itu untuk menjaga kepentingan mahkamah.
“Kalau Majlis Peguam tidak jaga, siapa yang hendak jaga dan sebagai peguam, jika Majlis Peguam tidak bergerak, kami (G100) akan mendesak,” kata Abdul Aziz dalam satu sidang media di sini.
Sebelum ini, G100 mendesak presiden Majlis Peguam Christopher Leong meletakkan jawatan berhubung reaksi beliau terhadap penghakiman kes Anwar yang menyatakan bahawa Anwar dianiaya dan bukan didakwa.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Abdul Aziz berkata G100 menggesa Majlis Peguam melakukan apa yang diperlukan dan segera mempertahankan badan kehakiman terhadap kenyataan salah, palsu dan berniat jahat, pada masa ini di Parlimen.
“Tidak pernah kita bayangkan kita akan hidup untuk melihat hari di mana cabang perundangan kerajaan kita akan diminta untuk mengutuk badan kehakiman. Ia adalah suatu keadaan teruk dan hari yang menyedihkan bagi Perlembagaan Persekutuan kita dan Malaysia,” katanya.
“Ia adalah satu perkara yang amat membimbangkan orang ramai dan adalah lebih baik bagi Majlis Peguam memberi maklum balas segera terhadap sebarang serangan namun Majlis Peguam masih lagi gagal untuk respons atau mengeluarkan apa-apa pembetulan atau kecaman terhadap anggota Parlimen berkenaan semalam.
“Dengan meninggalkan perkara ini, Majlis Peguam telah menunjukkan dengan jelas sikap tidak mempedulikan tugas pentingnya mempertahankan badan kehakiman daripada serangan keji ke atasnya.
Akibatnya ia kini tidak menghiraukan kesucian sistem kehakiman kita dan mana-mana kenyataan menghina yang dibuat menjadi boleh diterima dan dibuat dengan sewenang-wenangnya,” kata Abdul Aziz.
Abdul Aziz juga berkata Majlis Peguam kini mendapat nama buruk yang begitu serius dan dakwaannya bahawa ia bertindak tanpa rasa takut atau memihak tidak membawa makna dan slogan menjadi penyokong kedaulatan undang-undang tidak membawa erti dan hanya propaganda semata-mata.
Sementara itu, di sidang media itu, Abdul Aziz berkata tidak perlu untuk menubuhkan satu lagi Majlis Peguam, sebaliknya hanya perlu memantapkan yang sedia ada dan kembali kepada matlamat asal penubuhannya.
Beliau berkata Majlis Peguam yang ditubuhkan pada 1947 itu hanya perlu menyatakan pendirian tegas terhadap mereka yang mencabar sistem perundangan dan tidak perlu menyebelahi mana-mana pihak.
Kata Abdul Aziz, penubuhan satu lagi Majlis Peguam hanya akan memburukkan keadaan kerana akan timbul pelbagai pertikaian dan perdebatan yang kemudiannya merugikan banyak pihak.
“Majlis Peguam telah ada (wujud) berpuluh tahun dan bergerak dengan baik. Kita kena jagalah. Kalau boleh tidak mahu ada sebarang pergaduhan. Jika peguam tidak mahu menjaga undang-undang, siapa yang mahu jaga.
“Sebagai peguam senior saya cuba ikhtiarkan. Pada tahun 80-an, Majlis Peguam amat menonjol dalam pelbagai perkara namun kini ia jadi sebaliknya. Majlis Peguam perlu menerangkan fakta tanpa mengelirukan mana-mana pihak,” katanya
Abdul Aziz juga berkata “Sebagai peguam kita telah bersumpah untuk mengikut undang-undang. Politik dan undang-undang berbeza. Kita boleh kritik tetapi tidak boleh mengkritik penghakiman sehingga menghina mahkamah.”