“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) seharusnya mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), bagi mendapat satu keputusan yang terbaik.”
Itu kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi yang menyifatkan pengumuman SPAD berhubung kenaikan kadar baharu teksi serta bas ekspres antara 20 hingga 67 peratus adalah tinggi
Sehubungan itu, beliau menyeru SPAD mengkaji semula kadar tambang baharu itu yang masing-masing berkuatkuasa serta merta dan 15 Mei depan.
Menurutnya, SPAD perlu mendapat pandangan dari semua pihak selain perlunya ada garis panduan menentukan paras tambang berpatutan agar mampu dibayar dan tidak membebankan pengguna.
“Kita tidak seharusnya membebankan rakyat terutama mereka yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan harian mereka kerana jika diteruskan, ini akan meningkatkan kos perbelanjaan mereka.
“Namun saya faham dengan masalah dihadapi syarikat pengangkutan awam dan pemilik teksi, bagaimanapun pihak kerajaan perlu untuk mengkaji dan menyemak semula kenaikan tambang itu,” kata Aziz yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO.
SPAD semalam mengumumkan kenaikan tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala tambang bas ekspres berkuatkuasa mulai 15 Mei dengan alasan kenaikan kos yang ditanggung pengusaha pengangkutan awam.
Susulan itu, laman media sosial dihujani pelbagai rungutan pengguna yang majoritinya tidak bersetuju malah menyifatkan ada pihak cuba mengambil kesempatan sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1 April ini.