Pengguna Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (LATAR) terkejut dengan penemuan jenazah yang dikafankan di Kilometer 2.5, menghala ke Kuala Selangor, malam semalam.
Lebih menggemparkan, objek berwarna putih seakan pocong itu ‘dibaringkan’ di tepi jalan dengan sebatang kayu disisinya.
Penemuan objek itu turut menjadi viral apabila dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) `Siakap Keli’, sebelum dikongsi oleh akaun pengguna lain.
Rata-rata pengguna FB menyifatkan kewujudan objek itu menyebabkan orang ramai yang menggunakan lebuh raya berkenaan ketakutan, kerana menyangka ia adalah pocong.
Seorang pengguna LATAR dikenali sebagai Ahmad Faizal, 38, yang menghubungi BH mendakwa dia melihat objek itu kira-kira jam 10.15 malam kelmarin, malah mengakui ia begitu menyeramkan.
“Saya mengetahui ia adalah palsu apabila ia menjadi viral dalam FB. Memang, sekali imbas ia macam hantu betul. Nasib baik, saya bawa kereta berseorangan, kalau bersama-sama anak, mungkin anak saya akan menangis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi LATAR, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi, berkata siasatan pihaknya mendapati objek putih itu diletakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Satu laporan polis dibuat bagi mengesan dan menjejaki individu yang bertanggungjawab. Selain itu, pihak LATAR akan sentiasa membuat pemantauan di sepanjang lebuh raya dan akan bekerjasama dengan polis, demi keselamatan serta keselesaan pengguna.
“Pihak LATAR menentang sekeras-kerasnya perbuatan sebegini kerana ia sememangnya dianggap keterlaluan dan boleh membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya ini,” katanya.