Cadangan “Selamatkan Malaysia” oleh Penasihat Dap, Lim Kit Siang baru-baru ini sekadar helah politik untuk memperolok-olokkan dan mempermain-mainkan rakyat semata-mata, ujar Timbalan Pengerusi UMNO Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahalan.
Beliau seterusnya percaya apa yang cuba diselamatkan Kit Siang ialah Dap bukan negara Malaysia dan kalau negara tidak selamatpun kerana gara-gara Dap dan rakan pakatan mereka yang sentiasa memanipulasi isu-isu yang sensetif seperti isu agama, kaum dan raja.
“Rakyat dah tahu, dah sedar benda ini. Sebab itu saya katakan bahawa cadangan tersebut sekadar memperolok-olokkan dan mempermain rakyat sebenarnya.
“Bagi saya, kenyataan Penasihat Dap itu hanya helah politik. Itu satu penipuan, cerita yang sengaja diada-adakan, dimomok-momokkan supaya rakyat bangkit dan menerima mereka kembali,” tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor.
Tegasnya negara ini akan terus selamat sekiranya pemimpin-pemimpin politik terutama parti pembangkang tidak ghairah bermain politik sempit seperti mana memanipulasi apa jua isu yang boleh mengundang rasa kurang selesa di kalangan rakyat berbilang kaum.
“Hakikatnya limpahan nikmat keamanan, keharmonian negara ini bukan sahaja dinikmati oleh rakyat negara kita, malah menjadi tumpuan oleh rakyat negara lain sehingga ramai yang mahu terus berada di negara ini untuk mencari rezeki.
“Itu tak makmur ke namanya, itu tak aman ke namanya? Apakah itu nak diajak rakyat untuk mengatakan tidak aman? Itu tafsiran baru yang nak diberikan oleh mereka untuk mengatakan negara kita tidak aman? Bagi saya, mereka hanya nak mempermainkan rakyat sahaja,” tambahnya.-MediaUMNO